Rencana

Ekspresi Negaraku vs Rukunegara

Sabtu lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak telah lancar satu program bernama Ekspresi Negaraku di Putrajaya. Niatnya ialah mahu bangkitkan semangat patriotik.

Sekali dengar sedap juga ucapannya: “Di sinilah negara tempat kita lahir, tempat kita bertatih semasa kecil, bersekolah dan membesar dan mencari rezeki sebagai orang dewasa dan apabila sampai waktunya kita akan bersemadi di tanah tumpah darah kita.” Pujian kepada penulis skrip ucapan Perdana Menteri.

Tapi isi ucapannya macam ceramah politik. Guna duit rakyat buat program kerajaan untuk rakyat tapi bantai parti pembangkang. Dia lupa agaknya ini bukan program ceramah cawangan UMNO.

Dia marah dan dia tuduh ada orang Malaysia tak patriotik kerana memburukkan negara. Dia tak tau bezakan negara dengan kerajaan. Dia mahu semua orang sokong dia.

Walaupun tak sebut nama, dia kutuk Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kata Malaysia adalah negara korup. Najib kata Malaysia di bawah pentadbirannya bukan negara yang gagal. Kerana itu dia lancar program Ekspresi Negaraku untuk buktikan Malaysia tak gagal.

Dia ingat lancar program boleh jadikan Malaysia berjaya. Dia lupa apa yang arwah bapa dia buat demi negara. Dia tak ingat arwah ayahandanya lancarkan Rukunegara pada tahun 1970.

Oleh kerana dia lupa, kita sebagai rakyat patut ingatkan dia pasal cita-cita Rukunegara yang begini bunyinya:

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
· Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
· Memelihara satu cara hidup demokratik;
· Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
· Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
· Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Inilah dia program sebenar untuk pastikan kejayaan Malaysia. Bukan buat program untuk kutuk Mahathir atau parti pembangkang. Tak payah belanja ratus ribu ringgit atau entah berjuta ringgit untuk buat program pegang bendera kecil dan bersorak gembira. Kita rakyat Malaysia dah ada Rukunegara.

Marilah kita rakyat Malaysia sama-sama menuju cita-cita yang menjadi impian Tun Razak. – Roketkini.com