Berita

Najib, ini maksud sebenarnya ‘jual negara’

GEORGE TOWN, 3 APRIL: Apabila kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek dengan kos yang tinggi bagi membayar hutang sesebuah syarikat yang penuh dengan skandal penyelewengan, itu maksudnya kerajaan menjual negara.

Apatah lagi apabila projek tersebut dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China.

“Kerajaan Umno BN merancang projek East Cost Railway Line (ECRL) dengan kos RM55 bilion untuk tujuan membayar hutang 1MDB seperti didakwa oleh Sarawak Report.

“Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China. Jika projek ini gagal membiayai kos, sudah tentu Kerajaan Persekutuan yang akan datang terpaksa menanggung kos.”

Demikian ulasan Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin Nasution sambil menyekolahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang erti sebenar frasa ‘jual negara’.

“Jual negara’ bererti apabila kerajaan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City. Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah ‘leasehold’ dan mempunyai had tempoh pajakan.

“Tetapi realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status ‘freehold’ atau pegangan bebas!” ujar Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR, terlebih dahulu menyangkal tuduhan Najib Razak kononnya pelabur luar lari dari Pulau Pinang padahal laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, sebuah agensi di bawah Kerajaan Persekutuan mendapati bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang amat memberangsangkan.

“Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang.

“Dalam masa tempoh lima tahun, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6% kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5% pada tahun 2010.

“Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ni diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan patut malu kerana tidak menilai statistik terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat?” soalnya.

Sebaliknya pula kata beliau, lawatan pelaburan Najib ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan ‘profile’ negara.

“Hal ini dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka FDI juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib,” katanya. – Roketkini.com