Berita

Melayu tak ‘liberal’ pun boleh pilih DAP, kata Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: DAP merupakan parti berbilang kaum yang menarik minat orang Melayu yang mahu maju kehadapan dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib rakyat Malaysia.

Sepanjang penubuhannya, DAP juga komited memperjuangkan ketelusan, integriti, menentang rasuah, salah guna kuasa, serta menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tidak timbul soal DAP adalah parti pilihan Melayu yang berfikiran liberal atau tidak, kata bekas Menteri UMNO, Datuk Zaid Ibrahim.

“DAP bukannya parti untuk orang melayu yang liberal ke tak liberal.

“(DAP adalah parti untuk) orang Melayu yang mahu ke hadapan, yang mahu memahami isu masyarakat, yang mahu mencari penyelesaian kepada masalah itu,” katanya dalam program temubual, Helo Roket!, semalam.

Beliau berkata, DAP yang disertainya pada Februari lalu berbeza dengan parti yang sering melemparkan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam.

“PAS pergi Parlimen di Dewan Rakyat cakap itu cakap ini, kosong. (Tapi) apa cadangan dia daripada segi ekonomi, daripada segi sosial, daripada segi masalah manusia? yang dia tahu dosa, pahala,” ujarnya.

Malah, beliau turut menegaskan keperluan untuk orang Melayu meninggalkan politik ketinggalan zaman yang hanya menyentuh sentimen kaum dan agama demi perubahan seiring dengan kemajuan dunia masa kini.

“(Bangsa lain) fikir untuk buat (kemajuan) sains, kejuruteraan, teknologi maklumat (IT), komputer teknologi, perubatan, dan pelbagai kajian dalam peringkat pengajian tinggi.

“Namun, orang Melayu masih lagi fikir dalam politik Melayu, seperti RUU355, (soal) kahwin muda, inilah politik Melayu. Kita ketinggalan beribu tahun daripada bangsa-bangsa lain,” ujarnya.

Helo Roket! merupakan program temubual yang menampilkan pemimpin-pemimpin politik khususnya DAP bagi membincangkang isu-isu semasa dan disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook DAP Malaysia.

Program malam tadi turut menampilkan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal dan Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jamaliah Jamaluddin sebagai hos. – Roketkini.com

HELO ROKET

Democratic Action Party 发布于 2017年4月3日