Budaya

Ghost in the Shell, di mana roh mu?

Ghost in the Shell (2017) arahan Rupert Sanders merupakan filem fiksyen sains yang menarik untuk ditonton. Dari segi plot dan jalan cerita, ia merupakan produk Hollywood yang mudah difahami kerana sudah tersedia watak hitam dan putih. Ia agak senang difahami dan diikuti.

Jika anda belum pernah menonton Ghost in the Shell (GITS) yang asal dalam bentuk anime (1995) yang diadaptasi daripada komik manga Jepun, dan ingin menonton GITS karya Hollywood, dipersilakan. Selama 1 jam 45 minit, lebih kurang, kita dapat saksikan betapa hebatnya set, latar, kesan khas, dan GCI filem ini yang menelan belanja USD110 juta. Begitulah adanya.

Filem aksi ini, bagi saya, lebih gaya daripada isi. Mungkin kerana kapitalis Hollywood bersama para pelabur-pelaburnya merasakan bahawa penonton (baca: golongan muda) suka kepada aksi, gaya dan CGI, berbanding isi dan cerita.

Tapi rasanya tidak semestinya benar andaian itu. Kerana hari ini semakin ramai golongan skema, termasuk yang muda dan yang perasan muda, yang dahagakan pengisi minda dan hati, iaitu cerita. Tanpa cerita, yang ada hanyalah imej, gerak visual, bunyi dan gaya yang cantik dipandang tetapi tidak banyak memberi pengisian dalam kekosongan jiwa.

GITS dan The Matrix

Kekosongan jiwa, atau lebih tepat lagi roh, juga merupakan asas cerita anime asal GITS arahan Mamoru Oshii. Oleh kerana saya tidak pernah membaca komik asal, saya hanya mampu membandingkannya dengan anime 1995. Saya akui bahawa saya sendiri agak kalut dalam memahami apa yang anime itu cuba sampaikan apabila menontonnya melalui DVD buat kali pertama lebih 15 tahun yang lalu. Namun hati saya merasakan seolah-olah pernah menontonnya sebelum itu.

Maka malu juga pada diri sendiri apabila mengetahui bahawa sebuah filem yang saya rasa hebat, iaitu The Matrix (1999) arahan Andy Wachowski dan Larry Wachowski yang yang dibintangi Keanu Reeves, sebenarnya dilihamkan oleh GITS. Saya menonton The Matrix dahulu, dan kemudian baru terjumpa GITS; lambat dua, tiga tahun dari tahun terbitnya GITS.

Bagi saya The Matrix itu hebat. Ya, yang pertama dan yang asal. Kerana filem sambungannya yang kedua dan ketiga hanya untuk memenuhi francais kapitalis Hollywood. Itu hak mereka, dan kita juga berhak menonton, atau menunjukkan jari tengah sambil membaca karya-karya “indie” tempatan tanpa mempedulikan filem-filem ini.

The Matrix penting kerana mendedahkan sesuatu yang baru; sekurang-kurangnya dua perkara yang bermakna bagi saya.

Pertama, dari segi visualnya sahaja sudah menguja semua penonton. Bukan sekadar latar dan set filem ini tetapi gerak adegan berlawan yang menggunakan seni kungfu Hong Kong dalam bentuk baru. Dan tentunya, jaket dan seluar kulit (atau mungkin PVC) watak-watak utama bersama dengan kacamata hitam mereka begitu cool sekali.

Kedua, jalan cerita dan makna yang disampaikannya. Walau pelbagai tafsiran boleh diberikan, ia memaksa penonton berfikir dan pada masa yang sama, teruja sewaktu menontonnya. Falsafahnya mempersoalkan, apa itu hakikat, apa itu citra, apa itu kebenaran, apa itu kepalsuan. Di dalamnya ada soal roh, soal jiwa.

Malah, ada seorang kawan berkongsi pandangan dengan saya bahawa dia memahami The Matrix dari sudut falsafah Tao Te Ching/Daode jing, seperti dalam ayat pertamanya: Tao (jalan) yang boleh dibicarakan bukanlah Tao yang abadi. Nama yang boleh dinamakan bukanlah nama yang abadi. Yang tidak bernama itu adalah adalah permulaan langit dan bumi, ia adalah ibu segala ciptaan.

Ada pula kawan yang berpendapat unsur sufi terkandung dalam The Matrix, iaitu duniawi sebagai cermin kewujudan Tuhan sebagai “The One” dalam apa dan bukan-apa di alam ini, mahupun di luarnya, jika ada. Seperti wahdatul wujud, mungkin.

Apabila saya menonton GITS (1995) selepas The Matrix, dan kemudian menonton sekali lagi beberapa tahun kemudian, semakin jelas kepada saya maksud yang ingin disampaikannya. Mungkin saya agak lembab menangkap maksud. Mungkin juga untuk tontonan kali kedua itu, saya kurang diganggu dengan hal-hal lain untuk menumpukan sepenuh perhatian.

Scarlett Johansson, Mira dan Motoko

Untuk mempersiapkan diri menonton GITS 2017, sekali lagi saya tonton anime tersebut baru-baru ini bagi memastikan memang benar bahawa istilah “ghost” dalam tajuk GITS membawa maksud roh atau jiwa, atau kedua-duanya sekali.

Asas cerita anime ini mengisahkan tentang dunia masa depan yang masih terikat dengan politik “negara” dan “bangsa”; masih bergelut dalam politik diplomasi dan keganasan; masih dalam eksperimen mencipta tubuh manusia. Persoalannya, apakah erti manusia? Apa erti roh dan jiwa jika tubuh manusia boleh dicipta oleh manusia?

Plotnya pula melibatkan aksi dan misteri sebuah unit yang memburu The Puppet Master yang menggodam minda komputer manusia-ciptaan-manusia atau cyborg hybrid. Sepanjang pemburuan itu, watak utama Mejar Motoko Kusanagi, “seorang” hybrid cyborg, semakin ditekan dengan persoalan siapa dirinya, dan apa erti roh dan jiwa untuk dirinya.

GITS 2017 juga cuba membawa asas cerita ini tetapi ia terlalu cetek. Malah, plotnya pula – walaupun ada sedikit-sebanyak persamaan pada separuh masa pertama filem – telah memilih jalan selamat untuk separuh masa kedua, iaitu hampir serupa dengan kebanyakan jalan cerita yang biasa kita tonton dalam filem-filem bajet besar fiksyen sains Hollywood.

Bagi saya, tiada masalah Scarlett Johansson memegang watak Motoko Kusanagi. Sebagai manusia biasa, saya pun ingin menonton filem terbaru lakonan Scarlett Johansson. Saya sentiasa teruja dengan watak beliau sebagai Black Widow dalam francais The Avengers, dan terasa pelik mengapa Marvel Studios yang dimiliki Disney Studios belum ada rancangan untuk membikin filem solo Black Widow. Adakah kerana watak Natasha Romanoff sebagai bekas ejen KGB Rusia serta minda kolot penonton Amerika masih terbenam dalam Perang Dingin yang telah lama berakhir?

Kembali kepada GITS 2017, terasa janggal apabila nama watak Motoko menjadi Mira Killian. Walaupun ini dijelaskan kemudian dalam filem ini, ia masih terasa seolah-olah penerbit Hollywood perlu memberi justifikasi kehadiran pelakon kulit putih untuk memegang watak cyborg hybrid yang jelas keJepunannya.

Yang agak membazir bakat adalah Takeshi Kitano, tokoh filem Jepun, yang agak mendatar wataknya. Kehebatannya dalam filem-filem yakuza atau gangster Jepun – setidak-tidaknya itu yang saya ingat sepanjang dekad 1990-an – tenggelam sebagai watak Chief Daisuke Aramaki, ketua kepada Mira/Motoko. Tidak banyak ekspresi wajah, dan di saat filem 2017 ini lari daripada jalan cerita 1995, watak Daisuke Aramaki yang sepatutnya berciri intrik dan konspirasi, menjadi tawar dan sehala sahaja.

Nak tonton atau tidak?

Seperti yang dicatatkan awal tadi, walaupun saya menganggap filem ini gagal memenuhi harapan saya, sekurang-kurangnya yang dapat memujuk hati adalah latar, kesan khas dan visual filem ini. Menontonnya di pawagam lebih mendatangkan rasa puas berbanding melihatnya di kaca TV atau skrin komputer selepas ini nanti. Kecuali jika skrin TV anda 100 inci atau lebih, dengan sistem bunyi yang hebat. Agaknyalah.

Kesimpulannya, jika sekadar mahu menghiburkan diri di hujung minggu atau pada malam selepas waktu bekerja atau berkuliah, atau mahu ponteng tugas untuk menonton di siang hari, GITS 2017 boleh dinikmati begitu-gitu sahaja. Jika mahu memulas otak sedikit, GITS 1995 dapat memberi lebih kepuasan, walaupun minda terasa seperti digigit selepas menonton anime ini. Puas walau tidak sepenuhnya. – Roketkini.com