Berita

UMNO sedang membunuh PAS

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pengumuman PAS menerusi Naib Presidennya Datuk Idris Ahmad bahawa parti itu akan bertanding di 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang merupakan bukti bahawa PAS sedang bekerja untuk UMNO.

Tindakan PAS itu kata Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim secara tidak langsung akan memberikan kelebihan kepada UMNO untuk menang.

Ia ekoran PAS merasa cukup terhutang budi kerana UMNO berjaya membawa pentas lakonan RUU355 di parlimen dengan cukup licik.

Mahdzir Ibrahim

“Ini dirasakan oleh PAS sebagai laba politik kepada mereka. Maka PAS dengan bangga dan yakin akan kembali kepada penyokong tegarnya dengan membawa satu kejayaan RUU355.

“Budi UMNO kepada PAS ini akan ‘membawa mati’ kepada PAS. Ini realitinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mahdzir, walaupun di atas kertas undi, PAS menjadi lawan UMNO kerana mereka tidak bergabung dibawah satu logo secara rasmi, tetapi realiti politik menyatakan sebaliknya.

Menurutnya, kerjasama PAS dan UMNO ini juga dapat dilihat jelas berdasarkan kenyataan dan tindakan yang dibuat pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini.

“Haji Hadi juga pernah ‘kantoi’ dengan ucapan untuk mengagih-agihkan kawasan PAS dan UMNO untuk diperintah,” katanya.

Ini termasuk kenyataan PAS yang pernah memberi gambaran bahawa mereka sanggup kalah dalam pilihan raya asalkan ‘Islam’ (RUU355) berjaya dibentangkan di Parlimen.

Walaupun mungkin segelintir pemimpin PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan terus berusaha untuk memujuk dan berunding dengan PAS agar berlembut di saat akhir, Mahdzir menjelaskan ia tidak akan menjamin apa-apa rundingan.

“Bala ini akan ditanggung bukan sahaja ke atas parti yang berunding dengan PAS, malah semua parti juga menerima akibatnya.

“Kepimpinan PAS pernah membelakangkan perjanjian. Ketika mereka bekerjasama secara rasmi dalam Pakatan Rakyat (PR) pun mereka masih gagal menghormati perjanjian yang telah ada hitam putih, apatah lagi sekarang yang tidak ada hubungan rasmi dengan PKR dan PPBM,” katanya lagi. – Roketkini.com