Berita

Akuan bersumpah Rafizi dakwa Nasharudin Mat Isa terima dana terkait 1MDB

KUALA LUMPUR, 13 APR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini dalam akuan bersumpahnya mendedahkan bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa telah menerima dana melibatkan 1MDB melalui akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Maklumat tersebut kata Rafizi, diperolehinya dari bekas pegawai ‘paling kanan’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malysia (SPRM) yang turut terlibat menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Beliau menyebut kepada saya bagaimana siasatan SPRM turut mengesan sejumlah wang yang dibayar dari akaun peribadi Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak yang sampai kepada Dr Nasharuddin Mat Isa mantan Timbalan Presiden PAS,” dedahnya dalam sidang media sebentar tadi.

Rafizi dalam akaun bersumpahnya itu menceritakan secara terperinci butiran mengenai siasatan SPRM melibatkan penyelewengan 1MDB yang diceritakan secara lisan oleh pegawai kanan SPRM tersebut.

“Siasatan SPRM ke atas SRC International Sdn Bhd mendapati sejumlah dana dari SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dari akaun Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat bayaran kepada peguam tertentu. SPRM telah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International Sdn Bhd yang disalurkan melalui peguam tersebut.

“Salah seorang dari penerima bayaran dari peguam tersebut adalah Dr Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden PAS,” ujar beliau.

Menurut Naib Presiden PKR itu, aliran sejumlah wang kepada bekas pimpinan tertinggi PAS tersebut boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara jika bayaran itu sebagai pertukaran melunakkan suara PAS dalam isu 1MDB.

“Saya percaya maklumat ini wajar diketahui oleh rakyat terutamanya mengenai aliran dana SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya disalurkan ke tokoh-tokoh tertentu terutama seorang mantan pimpinan tertinggi PAS yang kita ketahui paling lantang memperjuangkan kerjasama UMNO dan PAS,” jelas beliau.

Rafizi dalam sidang media itu turut mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairul Aman Razali pernah menemui pegawai SPRM itu untuk mendapatkan kepastian penglibatan Najib Razak dalam skandal 1MDB.

“Pegawai penyiasat terkanan itu memaklumkan kepada saya bahawa beliau ada memberi maklumbalas secukupnya kepada permintaan mendapakan kesasihan dari Datuk Dr Khairudin Aman Razali itu,” dedahnya lagi.

Tegas Rafizi, tindakannya membuat akaun berkanun bertujuan supaya siasatan mengenai penyelewengan 1MDB dapat dibuka semula.

“Apabila dibuat dibawah akuan berkanun kalau ada mana-mana bahagian tidak benar, maka satu laporan polis dibuat dan saya boleh ditangkap.

“Saya buat akuan berkanun supaya kalau petang ini ada perkara yang saya sebut ini tak betul dan ada buktinya, maka boleh laporan polis dan kita akan melalui proses undang. Saya akan lebih gembiramelalui proses perundangan. Sebab, bila ada proses perundangan, kita ada kedudukan mengikut undang-undang (legal position) untuk hadapkan isu 1MDB ke mahkamah,” jelas beliau. -Roketkini.com