Berita

DAP cadang DUN Sabah bentang RUU kembalikan hak negeri

KOTA KINABALU, 13 APR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dicadang supaya meluluskan usul melantik mana-mana Ahli Parlimen Sabah untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda perlembagaan mengembalikan semula hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Cadangan yang dibuat Adun Sri Tanjung, Chan Foong Hin itu turut menamakan Ahli Parlimen Keningau, Tan Sri Pairin Kitingan diberi amanah untuk membentangkannya di Parlimen.

Menurutnya, jika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberi ruang untuk membentangkan usul pindaan rang undang-undang persendirian Akta Mahkamah Syariah (RUU355), usul untuk mengembalikan hak Sabah juga wajar diberi laluan untuk dibahaskan.

“Sebelum beliau bersara dari politik, marilah kita bersama mencipta sejarah untuk mengembalikan hak-hak Sabah.

“Janganlah kita mengulangi kisah jawatankuasa teknikal RCI pendatang tanpa izin, sampai sekarang cadangan-cadangan bernas masih belum didedahkan kepada umum,” katanya ketika berucap dalam sidang DUN Sabah baru-baru ini.

Antara usul pindaan yang dicadangkan Setiausaha DAP Sabah itu melibatkan pindaan kepada tiga Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:

Pindaan Artikel 1(2), supaya mencerminkan semangat rakan kongsi bersama di antara, Malaya, Sabah dan Sarawak.

Pindaan Artikel 160(2), supaya menambah definisi untuk Malaysia Day, 16 September 1963, dan;

Pindaan Artikel 160(2), supaya definisi “Persekutuan” ditetapkan kepada Persekutuan yang dibentuk berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Semoga cadangan saya dipertimbangkan oleh Ahli Parlimen Keningau merangkap Timbalan Ketua Menteri kita,” katanya lagi. -Roketkini.com