Wawancara

‘1 Mimpi 2 Realiti’, karya Mahdzir untuk Amal Insani

Tidak ramai yang tahu Mahdzir Ibrahim punya bakat besar dalam bidang seni tampak. Beliau punya sejarah panjang mempelajari nahu seni itu di Universiti Teknologi MARA, di zaman negara dilambung ombak Reformasi. Arus deras gerakan tersebut membawa Mahdzir dan teman-teman ikut serta dalam gelombang aktivisme politik, sebelum beliau akhirnya menyertai DAP dan bertanding di kawasan Parlimen Tanjung Piai pada pilihanraya umum Mei 2013.

Salah satu daripada entah berapa banyak hasil karya cat minyak beliau, bertajuk ‘1 Mimpi 2 Realiti’ kini tergantung di Balai Seni Negara sebagai sebahagian daripada karya-karya pameran Amal Insani, upaya beberapa teman mengumpul dana untuk pusat autisme di Selayang.

Roketkini berpeluang melepas rindu dengan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor ini, bertanyakan khabar dan bersembang tentang sisi seninya itu.

Apa sebenarnya ‘1 Mimpi 2 Realiti’? Apa inspirasi dan kenapa menyumbang kepada projek Amal Insani?

Ia imbasan kembali zaman aku masa kecil-kecil. Ia juga pengalaman kolektif kanak-kanak luar bandar. Zaman itu tempat aku selalu banjir. Nak ke sekolah jadi payah. Kalau banjir besar memang naik rakit nak lepas ke kawasan kering untuk berjalan ke sekolah. Masa tu aku fikir ni semua lumrah alam. Inilah dunia, kuasa tuhan bukan kerja tangan manusia. Ada masa banjir ada masa kemarau.

Bila besar skit. Keadaan jadi lain. Jadi bila dah berakal sikit aku mula nakal dan ponteng sekolah. Aku ponteng sekolah dan pergi mandi di sungai atau kolam. Mak, ayah cikgu tak tahu aku berkubang dengan kawan-kawan.

Lukisan ini aku cuba mengungkap semula zaman itu. Aku anggap itu zaman kebodohan murni. Kebodohan kerana ingin tahu. Zaman ketika akal kanak-kanak belum korup dengan politik atau materi.

Tapi bila ia dilukis pada zaman ini, maka persekitaran memberi pelbagai persepsi dan makna.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim

Sebagai contoh, kanak-kanak di Zimbabwe punya mimpi yang sama dgn kanak-kanak di Petaling Jaya. Mahu bermain dan berseronok. Tapi kanak-kanak Zimbabwe perlu bekerja seawal usia tujuh tahun untuk dapat berseronok. Sedangkan kanak-kanak di PJ pada usia yang sama hanya minta duit dari ibu bapa untuk bersukaria.

Realiti-realiti ini memisahkan kita. Politikus itu manusia, pelukis juga manusia. Akhirnya kita bercakap tentang diri kita, tentang impian kita.

Secara kebetulan, aku kembali melukis setelah pilihan raya umum (PRU) ke-13. Aku tiada punca pendapatan yang tetap. Maka aku harus kembali kepada apa yang aku ada. Aku tak ada aset harta untuk dijadikan modal buat berniaga. Yang ada hanya kemahiran yang aku dapat dari fakulti seni halus dulu.

Maka aku kembali melukis setelah aku tinggalkan dekat sepuluh tahun. Secara kebetulan mereka anjur pameran amal ini. Jadi aku dijemput untuk sertai.

Lepas sepuluh tahun simpan berus, hari ni aku kembali. Bukan sahaja untuk cari makan tapi untuk menolong orang dan untuk kepuasan jiwa aku. Projek amal ini aku lihat bersesuaian dengan lukisan yang aku sedang buat. Jadi aku tak perlu buat lain untuk sesuaikan dengan tujuan penganjur.

Pelukis, penulis, politisyen; yang mana dahulu?

Alahai soalan. Sudah banyak orang tanya benda ini termasuk kurator seni. Tapi bagus juga kau tanya. Boleh aku jawab jujur.

Kalau aku kata politisyen dulu baru seni orang kata aku mahu menyamar. Bila aku jawab dengan kurator aku ini seniman politik mereka kata aku retorik.

Bagi aku kenapa susah nak terima politikus yang memang melukis. Sedangkan kita boleh terima politikus itu seorang peguam atau ahli perniagaan. Ada politikus yang seorang ulama, ustaz, imam. Tak ada yang pelik pun. Hanya kerana ia tak ada maka kita sangka ia tak berlaku.

Suharto itu selain presiden dan politikus, dia juga seorang penulis yang bagus. Al-Farabi selain dia seorang saintis, dia juga pemain gambus yang hebat. Inilah politik dan seni kita, sangat cetek persepsinya.

Bagaimana saudara menggambar Malaysia atas sekeping kanvas?

Putih. Ia perlu dicorak dengan warna dan elemen yang betul dan sesuai.

Kewujudan Malaysia aku anggap masih muda jika dibandingkan dengan Filipina atau Indonesia. Demokrasi dan kebudayaan kita masih muda. Ini zaman terbaik untuk mencorakkan negara dengan warna dan elemen yang baik.

Jika kita lihat Indonesia, kelebihannya mereka merdeka dan reform lebih awal dari kita. Kita agak ketinggalan. Tapi yang baiknya, hari ini kita dapat lihat beberapa kelemahan mereka. Itu baik untuk dijadikan panduan supaya kita teroka dan adunkan.

Tidak ada orang mahu melihat sebuah lukisan yang tidak indah. Begitulah kita dalam bernegara. Kita mahu rasa dan lihat keindahan negara ini. Untuk itu kita kena teruskan usaha ke arah itu. Jangan patah semangat.

Bolehkah lukisan mencetus perubahan?

Begini saya cuba gambarkan. Secara peribadi saya melukis untuk berkongsi apa yang saya fikir dan rasa. Ada banyak perkara yang saya kira tak dapat dizahir dengan ceramah politik atau tulisan rencana.

Saya kira karya saya mengambil falsafah Sosial Realisme. Kerana ia saya rasa sesuai dengan jiwa dan intelek saya. Itu yang pertama.

Perkara kedua kerana sosial realisme ini punya sejarah yang agak panjang. Ia bermula dalam era 20-an. Baik di Eropah dan Amerika, karya-karya sosial realisme ini merakam denyut nadi zaman tersebut. Contoh di Amerika ketika zaman great depression di mana ramai rakyat menganggur manakala kos sara hidup menjadi sangat tinggi. Zaman itu pihak perbendaharaan Amerika mengambil inisiatif untuk memulakan program seni bagi meningkatkan usaha dan produktiviti rakyat. Inisiatif ini dilakukan secara komprehensif dalam skala yang besar.

Usaha ini menjadi salah satu faktor yang berjaya membawa rakyat dan ekonomi Amerika keluar dari zaman great depression.

Pengkarya; baik pelukis, pengarca, pemuzik, pelakon dan lain-lain artis digerakkan untuk menghasilkan banyak dan pelbagai karya. Dengan karya-karya ini selain dibayar untuk artis makan dan hidup, ia juga telah menghidupkan semangat untuk rakyat meneroka penciptaan kerja.

‘1 Mimpi 2 Realiti’

Dari situ ia memunculkan idea-idea baru dalam sosio-ekonomi hingga akhirnya ia munculnya sebagai empayar industri kreatif seperti yang kita lihat pada hari ini.

American Dream lahir dari naratif sejarah ini. Hingga kita tahu sebesar mana pengaruh budaya Amerika di dunia apatah lagi di Asia Tenggara.

Kita melihat Amerika sebagai kuasa tentera dan ekonomi, tapi kita tak lihat di belakang dua elemen ini, apa yang menjadikan Amerika begitu berpengaruh. Di Eropah, sosial realisme ini lahir dalam banyak bidang, bukan sahaja seni visual tetapi muzik dan teater. Karya dari bidang-bidang ini membentuk pemikiran politik dan demokrasi orang Eropah baik kawasan Rusia hingga Eropah Tengah.

Jadi saya melihat sosial realisme ini bukan hanya untuk artis syok sendiri (syok sendiri itu perlu) tetapi ia adalah suatu gerakan kebudayaan yang membawa aspirasi dan inspirasi sosial dan kebudayaan.

Dua perkara inilah yang akan memberi dinamik kepada sosial dan politik kita. Kerana itu saya memilih untuk berkarya dengan tema dan falsafah ini.

Memang ramai dari kita hatta ahli politik tidak peduli hal ini. Kita merungut apabila politik perkauman dimainkan. Tetapi kita tidak melihat peta yang melahirkan politik perkauman ini. Ia muncul dari falsafah kebudayaan kita yang dijumudkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Lim Kit Siang pernah berdebat dengan Syed Naquib Alatas tahun 70-an tentang ini. Tapi sampai setakat itu sahaja.

Sekarang kita boleh lihat bagaimana Zunar dan Fahmi Reza cuba menggunakan seni untuk impak sosial dan politik. Usaha ini sedang berjalan. Kita lihat bagaimana kesannya.

Apa harapan saudara untuk Nouri dan projek Insani?

Ia satu percubaan yang berani. Ia bukan mudah. Hal menyumbang apatah lagi memiliki koleksi seni di malaysia bukan suatu tugas yang mudah.

Saya suka usaha ini kerana ia sukar. Kalau senang mereka tak perlukan artis barangkali. Saya harap mereka teruskan usaha mereka untuk anak-anak autisme.

Saya juga berharap akan lebih ramai lagi penyumbang tampil membantu usaha pertubuhan Insani.

Pameran Amal Insani berlangsung sehingga 25 Mei di Creative Space, Galeri Potret Balai Seni Negara, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Pameran ini menampilkan 46 karya berbentuk catan (atau lukisan) dan arca dan mensasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000. – Roketkini.com