Berita

Amal Insani sasar kutipan RM150 ribu untuk anak-anak autisme

KUALA LUMPUR, 22 APR: Balai Seni Negara menjadi tuan rumah kepada 46 karya seniman tanah air dalam Pameran Amal Insani, bertujuan mengutip dana bagi Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (Insani), sebuah yayasan autisme.

Lebih menarik lagi, pameran tersebut turut menampilkan karya cat minyak Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim selain tulisan Sasterawan Negara A. Samad Said yang dimuatkan ke dalam buku katalog pameran terbabit.

Pengarah Eksekutif Insani, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi; ketika ditemubual Roketkini berkata Insani mensasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000 daripada jualan hasil seni tersebut selain sumbangan derma ikhlas daripada orang ramai.

“Pameran Seni Amal Insani dianjurkan oleh INSANI dengan kerjasama Artport Community, sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh penggiat seni, terutama seni halus.

“Idea untuk menganjurkan pameran ini datang daripada Artport Community atas keprihatinan mereka terhadap nasib kanak-kanak autisme,” ujar Mustaqeem.

Menurut beliau lagi, Insani ditubuhkan dengan matlamat menyediakan perkhidmatan penjagaan dan terapi autisme bermutu tinggi kepada golongan kurang berkemampuan.

“Setakat ini, Insani mengendalikan sebuah pusat autisme, iaitu Akademi Autisme Insani di Selayang Utama, Selangor,” jelas mantan editor Roketkini itu.

Autisme adalah masalah gangguan pembesaran yang menyebabkan sebahagian penghidapnya tidak mampu bercakap, tidak tahu menjaga diri sendiri dan gagal menyesuaikan diri dengan orang lain dan persekitaran.

Banyak juga penghidap autisme yang cenderung mencederakan diri sendiri, selain terdedah kepada kemalangan maut kerana ketidakupayaan memahami bahaya.

Insani ditubuhkan pada tahun 2012 apabila Nouri, anak kepada salah seorang pengasasnya, disahkan mengalami autisme.

Ketika itu ayah Nouri, Mohd Fakhri Affendi, tidak mampu untuk menghantar Nouri ke pusat penjagaan dan terapi autisme kerana kos yang terlalu tinggi.

Fakhri terpaksa berhenti kerja untuk menjaga sendiri anaknya, tetapi timbul masalah lain iaitu keadaan kewangan keluarga semakin sempit dan Nouri tetap tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Menyedari banyak lagi ibu-bapa menghadapi dilema yang sama, Fakhri bersama beberapa orang teman rapat berusaha menubuhkan Insani.

“Selama bergiat di Selangor, Insani mendapat perhatian daripada kerajaan ini. Beberapa pertemuan telah diadakan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor.

“Hasilnya, pada tahun 2016 Kerajaan Selangor telah memperuntukkan dana untuk autisme dalam belanjawan negeri, menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling depan dalam membela nasib golongan autisme,” tambah Mustaqeem.

Pameran Amal Insani berlangsung sehingga 25 Mei di Creative Space, Galeri Potret Balai Seni Negara, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. – Roketkini.com