Rencana

Asnaf terabai, mana ADUN dan wakil MB Johor?

Baru-baru ini, saya telah bertemu dengan Pak Ismail, 63 untuk melihat sendiri masalah beliau sambil menghulurkan sedikit sumbangan yang berjaya dikumpulkan.

Mahdzir Ibrahim menyampaikan sumbangan penderma kepada Pak Ismail.

Pak Ismail yang hidup sebatang kara yang tinggal di Kampung Rimba Terjun sejak lebih 40 tahun lalu yang juga penerima bantuan JKM kini hanya bergantung hidup dengan melakukan kerja-kerja kampong seperti menebas rumput.

Masalah Pak Ismail semakin mendesak apabila rumah yang beliau duduki lebih dari 40 tahun ini hampir roboh setelah berhadapan dengan hakisan tanah yang serius.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, usaha telah dibuat dengan bantuan penduduk setempat telah untuk memperbaiki rumah tersebut namun keadaan tanah dan struktur rumah sudah terlalu teruk untuk dipulihkan

Hasil pertolongan oleh rakan-rakan setempat, usaha membina rumah baru dimulakan beberapa minggu yang lalu dengan kos yang sangat kecil.

Pondok baru yang akan dibina hanya bersaiz 20 x 20 kaki persegi, tetapi ia lebih selamat berbanding rumah lamanya yang sudah reput dan menunggu masa untuk roboh.

Saya bertemu dan mendengar keluhan Pak Ismail, dia sudah lama menunggu bantuan kerajaan, ADUN Kukup juga telah datang, namun hingga kini Pak Ismail tidak ada mendapat apa-apa berita.

Keadaan pondok sementara ini juga sangat daif, tiada dapur masak, kipas dan katil untuk tidur. Beliau hanya tidur disofa lama. Manakala masak, beberapa orang jiran yang sudi membantu menyediakan makanan untuk Pak Ismail secara bergilir-gilir.

Saya merasa cukup bimbang dengan keselamatan rumah tersebut kerana asasnya dah rosak dan senget. Ini boleh mendatangkan bahaya kepada Pak Ismail.

Saya mohon ADUN Kukup, Suhaim
i Salleh dan juga Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai untuk ambil serius masalah ini dan menggerakkan bantuan dengan segera. Beliau turun padang sekali-sekala, hanya untuk tengok. ADUN dan Ketua Bahagian Umno harus lebih proaktif kerana mereka adalah kerajaan negeri. Ujar Mahdzir yang juga bekas calon Parlimen Tanjung Piai mewakili parti DAP.

Saya difahamkan bahawa Menteri Besar ada menjalankan program rumah untuk asnaf sebanyak RM13 juta, tetapi saya tertanya-tanya mengapa bantuan ini tidak sampai kepada orang seperti Pak Ismail.

Beliau seharusnya layak, Pak Ismail adalah penerima bantuan tetap JKM, sudah berusia, hanya bekerja mengambil upah menebas dan hidup sebatang kara, mana wakil Menteri Besar Johor?

Saya mewakili rakan-rakan penderma-penderma telah menyampaikan sumbangan wang bagi membantu Pak Ismail membina teratak kecil beliau yang baru. Saya akan berusaha lagi untuk membantu mencari dana bagi menyiapkan teratak baru Pak Ismail.

Sesiapa yang ingin membantu, boleh terus berjumpa Pak Ismail di Batu 39, Kampung Rimba Terjun, Pontian Johor. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor