Berita

Dasar BN bebankan rakyat dalang sebenar kenaikan harga barangan

KUALA LUMPUR, 25 APR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan wajar meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor mendalami bidang ekonomi sebelum menuduh pembangkang sebagai dalang di sebalik kenaikan harga barangan.

Saranan itu dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng susulan tindakan Rahman Dahlan meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya belajar ekonomi berikutan kritikan Setiausaha Agung DAP itu berhubung isu peningkatan kadar inflasi negara.

“Adakah si Ku Nan (Tengku Adnan) ini cuba memberitahu rakyat supaya menyalahkan pembangkang kerana kenaikan harga petrol dan kadar tol?

“Bukankah kejatuhan nilai ringgit berbanding nilai dolar sehingga 45 peratus sepanjang 4 tahun lalu adalah angkara Barisan Nasional (BN)?

“Ahli-ahli Parlimen BNlah yang bertanggungjawab meluluskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Parlimen,” kata Lip Eng dalam kenyataan.

Malah, beliau mendakwa syarikat yang dikuasai kroni BN mengawal penjualan beras dan syarikat yang menyediakan kemudahan awam.

“Bukan sahaja itu, harga barangan di pasaran juga ditentukan oleh kadar permintaan pasaran, dan langsung tidak ada kena mengena dengan pembangkang. Ku Nan ini sebenarnya sudah kenapa? Terhantuk kepala?” soalnya.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu turut mempersoalkan sama ada Rahman Dahlan dan seluruh anggota Kabinet bersetuju dengan kenyataan Ku Nan kononnya pembangkang dalang di sebalik tindakan peniaga dan pemilik restoran menaikkan harga makanan.

“Jika ya, mesyuarat Kabinet seterusnya wajar memutuskan supaya ditutup sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan atas kegagalan mengawal harga barang, dan membazir dana pembayar cukai,” ujar Lip Eng.

Beliau bimbang jika Ku Nan dibiarkan terus “melalut dengan serangan-serangan bodohnya” tanpa dikenakan tindakan oleh BN, beliau akan terus membuat dakwaan liar tanpa sebarang asas dan fakta.

“Mungkin selepas ini beliau (Ku Nan) akan mendakwa bahawa pembangkanglah di sebalik rompakan wang rakyat dari dana 1MDB, atau menuduh bahawa Jho Low adalah ahli parti DAP,” ujarnya sinis. – Roketkini.com