Berita

Kesukaran 1,500 penduduk putus hubungan akibat banjir besar dapat perhatian DAP Sabah

TULID, 30 APR: Kesukaran yang dihadapi lebih 1,500 penduduk daripada enam kampung di sini akibat banjir besar yang memusnahkan lapan jambatan sedia ada dua hari lalu mendapat perhatian DAP Sabah.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Batu Lumagan, Kampung Tulid, Kampung Kindasan, Kampung Kiulu, Kampung Kipaliu dan Kampung Simpang Empat.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt yang turut turun padang meninjau dan mendengar keluhan rakyat yang terjejas menyeru supaya pihak berkuasa segera mengambil tindakan pantas bagi membantu masalah penduduk.

“Saya bersama dengan barisan pimpinan DAP Sabah dan DAP Pensiangan telah melawat di Daerah Kecil Sook dan beberapa kampung di Sook dan Tulid untuk meninjau keadaan banjir yang berlaku di sana.

“Kami juga hulurkan bantuan dan sumbangan kepada penduduk-penduduk kampung yang sedang mengalami kesusahan akibat banjir.

“Saya menyeru supaya kerajaan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membantu penduduk yang terlibat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sandakan.

Penyelaras DAP Tulid, Robinson Rusikan berkata, hasil dari tinjauan yang dilakukan, semua jambatan di kampung terlibat tidak dapat di gunakan kerana rosak teruk.

“Penduduk kampung mengadu terputus hubungan kerana jambatan yang menjadi laluan utama mereka musnah akibat banjir besar yang berlaku baru-baru ini,” katanya kepada media.

Menurut Robinson, selain digunakan sebagai penghubung, jambatan itu juga penting sebagai laluan utama penduduk untuk memunggah barang hasil tanaman dan perladangan.

“Kami berharap akan ada satu tindakan yang drastik diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah ini.

“Tindakan ini penting kerana bukan setakat perhubungan saja yang terjejas, malah turut melibatkan bantuan kemanusian seperti sumber asas makanan epada 1,500 penduduk yang terlibat.” katanya lagi. –Roketkini.com