Berita

Bila kuasa jadi taruhan, ‘Tuhan’ bukan segalanya bagi PAS – Sheikh Omar

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Usul memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR tidak lebih sekadar untuk mempamerkan kesombongan dan ego PAS, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali.

Ini kerana, katanya, “jauh di lubuk hati, PAS tidak mahu kehilangan kuasa” dalam kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR – yang kini bersama Pakatan Harapan.

Beliau turut menyifatkan kesediaan ahli majlis mesyuarat negeri (Exco) Selangor dari PAS, Zaidy Abdul Talib untuk mengikut arahan dan keputusan kepimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama berhubung perkara itu sebagai gimik semata-mata.

“Ia tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap Exco PAS Selangor kerana saya yakin Majlis Syura Ulama dan pimpinan PAS Pusat tidak akan mengarahkan Adun mereka melepaskan jawatan Exco berdalilkan pelbagai hujah dan alasan.

“Dalam hal ini, saya berpendapat ‘tuhan’ bukan segalanya bagi PAS apabila bertembung soal kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Perwakilan di Muktamar PAS ke-63 sebulat suara meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Usul berkenaan seterusnya akan di bawa ke Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Konsert Selena Gomez adalah antara punca Pemuda PAS mahu agar Majlis Syura Ulama menerima usul berkenaan.

Dalam pada itu, Sheikh Omar turut mencabar Adun-adun PAS yang menyandang jawatan Exco supaya meletakkan jawatan mereka dalam kerajaan negeri Selangor.

“Dalam hal ini, tidak ada guna terpekik-terlolong kononnya mahu putus hubungan dengan PKR.

“Sekiranya ‘anak jantan’ dan bermaruah, Adun-adun PAS yang menyandang jawatan Exco dalam kerajaan negeri Selangor letaklah sahaja jawatan. Pun begitu, saya menjangkakan hal ini tidak akan berlaku,” ujarnya. – Roketkini.com