Berita

Berapa kos rombongan isteri Perdana Menteri ke London?

*Kredit foto Nasir Sufari (Malaysiakini)

PETALING JAYA, 12 MEI: Baru-baru ini tular video kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diganggu petugas media Britain ketika mengadakan lawatan kerja ke negara itu.

Dalam video tersebut, tiga individu terbabit mengucapkan selamat datang dan memberi sindiran supaya tidak datang ke negara itu jika tidak mahu berhadapan dengan kebebasan media yang sebenar.

Tindak-tanduk individu terbabit kemudiannya disifatkan sebagai biadap oleh menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak.

Namun, di sebalik kontroversi ‘biadap’ tiga individu tersebut, ada persoalan lain yang timbul.

“Berapa banyak wang rakyat yang telah dibelanja untuk membiayai perjalanan isteri Perdana Menteri, khususnya dalam tempoh lawatannya beliau ke London?” soal ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng Sa

Dalam kenyataannya, beliau meminta Pejabat Perdana Menteri menjelaskan jumlah kos dan jadual perjalanan isteri Perdana Menteri sepanjang tempoh rombongannya pada 4 hingga 10 Mei ketika berada di sana.

Menurut beliau, carian di internet hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum bertolak ke London untuk menghadiri beberapa program.

“Carian di Internet antara 4 hingga 10 Mei hanya memberi satu atau dua hasil carian daripada portal Bernama, sementara itu, carian di laman web The Royal Society of London serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian.

“Kalau setakat itu sahaja yang boleh dilaporkan media dalam dan luar negara sepanjang lawatan seminggu itu, maka ianya adalah sangat sedikit.

“Seharusnya isteri Perdana Menteri perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu program rasmi setiap hari dan semestinya perlu ada laporan atau liputan media hampir setiap hari daripada London berkenaan dengan lawatan tersebut,” katanya lagi. –Roketkini.com