Berita

“Saya bersama DAP untuk singkirkan kerajaan kleptokrasi” – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau bersama DAP kerana berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk menyingkirkan kerajaan kleptokrasi.

Bagaimanapun, beliau yang yang juga Perdana Menteri keempat itu berkata, kerjasama berkenaan tidak bermakna bahawa DAP memiliki dirinya seperti yang dituduh sesetengah pihak.

“Ya, saya bersama DAP tetapi DAP tidak memiliki saya. Kami berkongsi objektif yang sama untuk menyingkirkan kerajaan kleptokratik,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada sambutan ulang tahun parti itu yang ke-71 semalam yang membidas bekas pemimpin UMNO kini yang didakwa kononnya bersengkongkol dengan DAP.

PPBM secara rasmi menjadi anggota Pakatan Harapan pada 20 Mac 2017 selepas Majlis Presiden gabungan itu bersetuju untuk menerima parti berkenaan.

Malaysia digelar sebagai negara kleptokrasi ekoran skandal melibatkan syarikat pelaburan bermasalah milik negara, 1MDB yang juga cetusan Najib Razak.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat pada Julai tahun lalu mengeluarkan saman sivil bagi merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang dipercayai diseleweng daripada dana milik 1MDB.

Sejumlah AS$681 juta dipindahkan secara haram ke akaun peribadi milik “Malaysian Official 1” atau “MO1” yang disebut sebanyak 32 kali dalam dokumen saman sivil tersebut.

“MO1” dirujuk secara meluas sebagai perdana menteri dan turut diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan. – Roketkini.com