Berita

Kamarul Zaman perlekeh kebijaksanaan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Kamarul Zaman Yusuff digesa menarik balik laporan polis terhadap Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, sekaligus memohon maaf atas tindakannya itu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, laporan polis yang dibuat Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia.

Kamarul, dalam laporannya mendakwa Naib Ketua Wanita DAP itu kononnya mempengaruhi orang bukan Kristian untuk memeluk agama berkenaan melalui buku biografinya, “Becoming Hannah”.

Mengikut logik itu, Lip Eng justeru mengajukan soalan: “Adakah Kamarul akan membuat laporan polis terhadap pelajarnya yang berkata ‘Oh my God!’ (Oh Tuhanku!) di hadapan mukanya?

“Atau adakah dia akan membuat laporan polis secara bersiri pada Disember nanti apabila dia mendengar lagu Krismas berkumandang di mana-mana menerusi radio dan televisyen?”

Beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa orang bukan Kristian tidak akan memeluk agama itu hanya kerana membaca buku yang merakamkan pengalaman peribadi Hannah sebagai penganut Kristian.

“Kebanyakan ulasan di media sosial mencemuh pensyarah UUM tersebut kerana bersikap seolah pelampau dan berfikiran sempit.

“Ramai orang awam bimbang dengan kualiti pensyarah universiti tempatan berikutan kenyataan Kamarul tersebut.

“Kamarul perlu dengan segera bertindak wajar dan berkelakuan mulia dengan menarik semula laporan polis yang dibuatnya dan memohon maaf kepada Hannah,” katanya.

Isnin lepas, Hannah yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor membuat laporan polis terhadap Kamarul yang memfitnah beliau kononnya mempunyai agenda tersembunyi dalam satu artikel yang tular di media dan blog pro-UMNO. – Roketkini.com