Berita

13 Mei: Sejarah negara hanya boleh diperbetul kalau UMNO kalah pilihanraya

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Pembinaan semula sejarah kemerdekaan Malaysia yang dikutip daripada pelbagai perspektif tanpa agenda dan propaganda tersembunyi tidak akan tercapai jika negara berterusan diperintah oleh satu pihak sahaja.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal berpandangan bahawa apa jua karya khususnya filem yang dibikin bagi menceritakan naratif sebenar perjuangan kemerdekaan negara tidak akan mencapai objektifnya jika semangat demokrasi tidak ditegakkan.

“Sudah tentu kita mengidamkan satu suasana yang mana kita boleh ada pelbagai filem yang menafsir sejarah dari pelbagai sudut,” katanya kepada Roketkini.

“Tapi cita-cita itu tak mudah kalau politik kita masih berpuluh tahun didominasi satu-satu pihak. Selagi demokrasi kita belum beres, selagi itu segala apa karya pun biasanya hanya sesuai dengan selera kuasawan yang sombong sebab lama menguasai takhta politik.

Beliau memberi contoh filem Tanda Putera yang mengisahkan mengenai peristiwa berdarah 13 Mei daripada sudut perspektif berat sebelah UMNO-Barisan Nasional (BN) yang seterusnya menjadi alat propaganda parti itu untuk menyerang pihak pembangkang, khususnya DAP.

“Objektiviti sejarah ini pada saya mustahil dan cumalah angan-angan.

“Kalau kita tak boleh capai objektiviti, sekurang-kurangnya perlu ada ruang untuk semua perspektif. Kalau ruang untuk pelbagai perspektif pun masih disekat. Yang kita akan dapat adalah filem-filem yang cuba menjilat sajalah,” ujarnya.

Tanda Putera dianggap ramai pihak sebagai filem propaganda UMNO-BN yang didanai Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) untuk mengambarkan DAP sebagai kononnya dalang kepada peristiwa 13 Mei.

Ketika ditanya sama ada Finas wajar mendanai filem yang mengisahkan mengenai perjuangan golongan kiri dalam kemerdekaan negara, Edry yang juga Ahli Majlis Selangor berkata, ia mustahil terjadi kerana bercanggah dengan selera UMNO-BN.

“Campurtangan kerajaan dalam bab penafsiran sejarah melalui filem ini saya fikir akan berakhir sama saja dengan sejarah-sejarah yang diajar di Biro Tata Negara.

“Akibatnya mungkin lebih banyak kerosakan daripada kebaikan. Jadi pada saya, mungkin eloklah mereka tidak campur dan terus mendanai filem tentang kumbang atau buah-buahan tempatan,” ujarnya. – Roketkini.com