Berita

Kit Siang singgah beli lemang, peniaga belanja rendang daging

HULU LANGAT, 29 MEI: Kemesraan yang jelas terpancar dari wajah peniaga Melayu di bazar Ramadhan Batu 18 dekat sini terhadap kunjungan Lim Kit Siang membuktikan pemimpin Veteran DAP itu disenangi malah dihormati oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan agama.

Kit Siang yang ditemani Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta dua pemimpin muda DAP Young Syefura atau mesra dikenali sebagai Rara dan Mohd Firdaus Babh turut menyantuni pengunjung bazar tersebut sambil bertukar-tukar salam dan memberi sumbangan buah kurma.

Ketua Parlimen DAP itu singgah juga ke gerai seorang peniaga Melayu dan membeli dua batang lemang buat juadah berbuka puasa. Sebelum beredar peniaga tersebut sempat membungkus rendang daging secara percuma. “Saya belanja,” ujar peniaga tersebut.

Dalam pada itu, kamera telefon pintar para pengunjung tidak henti-henti menghala ke arah rombongan Kit Siang untuk merakam detik-detik bermakna tersebut. Mereka turut mengambil gambar swafoto bersama Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Sebelum beredar ke destinasi seterusnya, Kit Siang tidak semena-mena disapa ramah oleh seorang lelaki yang dipercayai penyokong UMNO berbaju Ulangtahun ke-71 parti itu. “Saya tak kesah roket, atau bulan atau apa,” kata lelaki itu tersenyum sambil bersalaman dan menyentuh bahu Kit Siang.

Sedang negara dilanda krisis perkauman dan agama yang kian meruncing, peristiwa di pekan kecil ini sedikit sebanyak telah mengembalikan semula keyakinan bahawa kesepaduan tanpa mengira latar belakang dalam negara ini mampu dicapai jika kita saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Kata Rara yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor merangkap penyelaras program Jelajah Desa Kit Siang kali ini, keharmonian yang ditunjukkan itu selaras dengan prinsip “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.

“Ia juga membuktikan bahawa dakwaan dan tohmahan jahat UMNO-Barisan Nasional terhadap Kit Siang adalah tidak benar sama sekali, hakikatnya rakyat masih punya rasa hormat terhadap beliau dan DAP” katanya kepada Roketkini.

Dalam kunjungan itu, rombongan yang diketuai Kit Siang berkenaan juga sempat menziarahi tiga keluarga asnaf bagi menyampai sumbangan berbentuk beras dan barang keperluan yang lain. – Roketkini.com