Berita

Berapa banyak lagi tanah di Kuala Lumpur yang tinggal?

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Berapa jumlah tanah milik agensi Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur yang telah dijual dan berapa pula bakinya soal Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Persoalan ini dituju Lip Eng kepada Barisan Nasional (BN) sebagai reaksi terhadap soalan sama yang diajukan pasukan Komunikasi Strategik parti itu kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dalam artikel bertajuk “Berapa banyak lagi tanah Pulau Pinang yang tinggal?” yang disiarkan di media, semalam.

“Alang-alang BN sudah mula bercakap tentang hal ini, apa kata kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan jika ada mana-mana tanah milik agensi Kerajaan Persekutuan yang dijual melalui tender terbuka?

“Jika tiada tender terbuka dilakukan, bukankah ini satu bentuk amalan rasuah?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Tahun lepas, katanya, Najib mengumumkan bahawa UMNO telah membeli Terminal Hentian Bas Putra (THBP) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk diganti dengan bangunan pejabat 70 tingkat serta menara hotel tanpa mendedahkan nilai pembelian.

Justeru, kata Lip Eng, Najib yang juga Presiden UMNO perlu bertanggungjawab mendedahkan jumlah wang yang telah dibayar kepada DBKL bagi tujuan pembelian terminal tersebut.

“Apatah lagi setelah BN membuat pelbagai andaian tentang bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang mendapat keuntungan daripada penjualan tanah milik negeri,” katanya.

Katanya yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan lagi, UMNO juga perlu mendedahkan bagaimana parti Melayu itu mendapatkan dana untuk membeli bangunan milik awam tersebut serta sama ada bayaran penuh harga THBP telah dibayar kepada DBKL.

Selain itu, katanya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) pula enggan menandatangani pewartaan draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang mana sekiranya diwartakan akan menghalang tanah awam dijual kepada syarikat swasta.

“Beliau (Ku Nan) juga mesti menjelaskan kenapa sebahagian daripada Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail telah dijual kepada pemaju swasta untuk membina lapan blok kondominium mewah pencakar langit tanpa sebarang tender terbuka kepada pembida tertinggi.

“Jelaskan berapa harga jualan dan berapa banyak keuntungan yang BN dapat,” katanya. -Roketkini.com