Berita

Sikap fanatik dan ekstrimis musuh nyata negara – Lim Kit Siang

LABIS, 13 JUN: Sikap fanatik dan ekstremis harus dikekang daripada terus mengakar dan merampas ruang perbincangan awam di negara ini, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Sikap itu, katanya, adalah musuh yang nyata dalam sebuah negara yang bersatu padu, progresif, makmur dan terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa serta agama.

Jika ia tidak dihalang, katanya, insiden pengeboman dan pembunuhan yang terjadi di beberapa negara yang didalangi militan ektrimis dan fanatik tidak mustahil akan turut berlaku di Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang moderat harus bangkit terhadap bahaya ini dan tidak mengalah dengan ektremis dan fanatik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyokong tindakan sekumpulan samseng yang menghalang dan mengherdik pasukan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong ketika mengedarkan kurma di Bazar Ramadan dekat Kluang.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Malaysia boleh menjadi sebuah negara bertaraf dunia jika kualiti dan nilai yang baik sesuai dengan kepelbagaiannya ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa.

Namun, katanya, sasaran itu tidak mampu dicapai sekiranya kita membiarkan suara-suara ektremis dan tidak bertoleransi bebas berleluasa tanpa dikekang.

“Malaysia sebagai ‘Instant Asia’ seharusnya tidak menjadi tempat yang hanya menarik pelancong asing dari setiap pelosok dunia.

“Ia juga harus menjadikan ciri-ciri kepelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya sebagai aset nasional dan bukannya liabiliti kepada pembentukan negara Malaysia,” ujarnya sambil menegaskan bahawa Malaysia bukanlah negara yang terdiri daripada satu kaum atau agama sahaja.- Roketkini.com