Berita

Tindakan DOJ bukan campur tangan asing, Salleh Keruak diminta lebih cerdik

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) ke atas 1MDB bukan campur tangan asing sebaliknya hasil siasatan yang dilakukan terhadap jenayah kolar putih melibatkan perbelanjaan mewah hasil penyelewengan dana syarikat tersebut yang dilakukan di negara itu.

Justeru, dakwaan menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak dalam blognya semalam menuduh kononnya tindakan DoJ sebagai campur tangan asing adalah tidak cerdik dan tidak masuk akal.

“Apa yang dilakukan DoJ di atas aduan yang dibuat di AS dimana ianya ada unsur jenayah kolar putih melibatkan kepentingan rakyat Malaysia dan aset-aset yang berada di AS.

“Ianya jelas satu penipuan terancang di peringkat antarabangsa. Takkan fakta ini pun nak di selewengkan?” soal Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji kepada Roketkini.

Dalam saman sivil terbaru Khamis lalu, DoJ mula bertindak untuk merampas sebanyak AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dipercayai diperolehi daripada wang yang dicuri daripada dana pelaburan negara 1MDB.

Pendedahan terbaru itu menjadikan jumlah terkumpul wang yang diselewengkan meningkat kepada AS$4.5 bilion berbanding AS$3 bilion sebelum ini.

Tengku Zulpuri yang juga Adun Mentakab itu berkata, tindakan DoJ itu bukanlah sesuatu yang sukar difahami dan Salleh tidak perlu memutarbelitkan fakta.

Apa yang menyedihkan, kehilangan puluhan billion wang negara itu kata beliau seolah-olah tidak menjadi isu kepada pihak berkuasa negara ini.

Malah katanya, tindakan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali menyatakan “Kami mendapati bahawa tidak ada jenayah dilakukan” dan tidak ada yang baru ditemui adalah amat menyedihkan rakyat negara ini.

“Kes ini melibatkan kepentingan dan wang negara. Kalau tiada agensi kerajaan Malaysia yang berani siasat kes 1MDB dengan telus, siapa lagi?” kata Ahli jawatankuasa DAP Pahang itu.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan Malaysia bertindak menyaman DoJ sekiranya dakwaan mereka mempunyai unsur fitnah,” katanya lagi. -Roketkini.com