Berita

Rakyat perlu jaminan kerajaan tak perluaskan cukai GST

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Kabinet Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri harus menjelaskan keputusan pusingan-U atau ‘flip-flop’ berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, pusingan-U pertama adalah apabila kerajaan BN mewartakan lebih 60 bahan makan baru pada 6 Jun lalu termasuk makanan tidak diproses untuk dikenakan GST bermula 1 Julai.

Ia, katanya, dilihat sebagai tindakan ‘flip-flop’ terhadap janji Najib Razak sebelum ini yang mahu hanya bahan makanan yang diproses dikenakan GST sebanyak enam peratus kononnya atas dasar prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah.

“13 hari kemudian setelah media sosial mula kecoh dan sehari selepas laman-laman berita utama melaporkan hal tersebut, kerajaan membuat satu lagi pusingan-U semalam dengan membatalkan pelaksanaan rancangan baru itu.

“Beberapa persoalan penting timbul daripada tindakan flip-flop ini: Siapakah menteri yang membuat keputusan untuk mengenakan cukai GST ke atas 60 bahan makanan baru ini?

“Adakah kabinet dimaklumkan dan adakah ia memberi persetujuan? Adakah Najib Razak sendiri, sebagai Menteri Kewangan atau orang lain, memberi arahan semalam supaya rancangan GST baru tersebut dibatalkan?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia seperti dilaporkan semalam membatalkan pelaksanaan GST untuk lebih 60 bahan makanan termasuk ikan belut, todak, jagung, sayuran beku dan beberapa jenis buah-buahan import serta marjerin.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, soal dasar seperti GST tidak harus dipandang ringan oleh kerajaan BN kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap ekonomi khususnya golongan miskin.

“Cukai GST bukanlah seperti aturan menu makan Najib Razak yang boleh ditukar-tukar apabila tidak kena dengan selera beliau atau anggota keluarganya. Sebarang perubahan terhadap GST memberi kesan terhadap ekonomi negara, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Kabinet Najib Razak bertanggungjawab kepada rakyat untuk memperjelaskan sebab di sebalik dua pusingan-U ini. Kita juga memerlukan jaminan daripada pihak kerajaan bahawa ia tidak akan berlaku lagi tanpa rundingan dengan mereka yang terkesan serta perbahasan di Parlimen,” ujarnya. – Roketkini.com