Rencana

Zahid, bukan setakat Johor yang mahu ditawan

Saya merujuk kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Kuala Klawang semalam.

Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/387957

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/po/newspolitics.php?id=1370838

Zahid dakwa pembangkang pindah pengundi, sasar rampas Johor

Ya, memang benar Pakatan Harapan (PH) mensasarkan untuk menang di Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang akan datang. Bahkan untuk pengetahuan Zahid – jika beliau masih belum tahu – kami bukan sahaja mahu menawan Johor, kami juga akan memastikan negeri paling selatan ini menjadi penyumbang yang signifikan untuk kerusi-kerusi Parlimen dalam memastikan kemenangan PH diperingkat persekutuan.

Kami amat yakin, rakyat di negeri Johor akan memberikan mandat kepada PH dalam pilihan raya umum akan datang. Rakyat sudah cukup terhimpit dengan tekanan ekonomi dan sosial yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN. Setelah lebih 50 tahun, reputasi Malaysia kini merudum dimata dunia dan tercalar dengan jolokan kleptokrasi dibawah teraju the Malaysian Official No 1 (MO1).

Skandal mega 1MDB, isu FGV melibatkan warga FELDA, cukai GST yang membebankan, kenaikan harga barangan dan bahan api, secara langsung cukup membebankan dan menyebabkan kemarahan rakyat.

Oleh itu, biar saya ingatkan Zahid disini. Bukan PH sebenarnya yang perlu beliau risaukan. Apa yang beliau harus sedar, perlawanan dalam PRU ke-14 yang akan datang adalah pusingan untuk 99% rakyat Malaysia menentang UMNO BN yang mendokong pemerintahan kleptokrasi.

Zahid turut menyatakan keyakinan beliau bahawa Johor akan tetap menjadi ‘fixed deposit’ UMNO dan BN.

Saya ingin bertanya, apakah Zahid sedang mengelamun? Adakah beliau tidak tahu bahawa Johor sekarang ini bukan sahaja tidak lagi menjadi ‘fixed deposit’ UMNO, bahkan mereka telah hampir-hampir kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Negeri sebaik sahaja ADUN Jorak Datuk Shahruddin Salleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Zahid perlu ingat bahawa PH Johor sekarang berada pada kedudukan yang sangat baik menjelang PRU ke-14 terutamanya dengan penyertaan PPBM.

PPBM berkembang dengan pantas di Johor. Menerusi kejayaan menubuhkan 26 bahagian dan komitmen Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk all out bagi memastikan kemenangan PH di negeri ini, saya fikir Zahid tidak boleh lagi mendabik dada kononnya Johor tempat kelahiran UMNO dan tidak mungkin kalah buat selama-lamanya.

Ditambah dengan UMNO Johor dibawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang jelas dilihat tidak pro-Najib, ia memberi mesej tanpa ragu kepada rakyat Johor untuk lakukan perubahan dan menukar kerajaan dalam PRU ke-14 nanti.

Untuk pengetahuan Zahid juga, generasi baru UMNO Johor yang telah menyertai serta beralih kecenderungan kepada PPBM; contohnya anak Khaled Nordin sendiri dan anak kepada speaker dewan negeri Johor sepatutnya sudah cukup untuk beliau sedari bahawa impian melihat masa depan yang cerah buat UMNO di Johor adalah semakin jauh dan pudar.

Selain itu, saya turut ingin menyinggung dakwaan Zahid bahawa ada usaha memindah undi sedang dilakukan oleh pembangkang untuk menawan Johor dalam PRU ke-14 yang akan datang.

Zahid perlu sedar, umum mengetahui bahawa selama ini wujud keraguan terhadap kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menguruskan proses dan perjalanan sistem pilihan raya.

Lihat sahaja kes yang berlaku baru-baru ini di Selangor dan seluruh negara umumnya berkaitan persempadanan semula SPR. Ia mencabul Perlembagaan Persekutuan dan dengan jelas memberi gambaran bahawa kerajaan pimpinan UMNO BN lah yang memiliki kuasa untuk memanipulasi undi rakyat menerusi instrumen yang mereka ada khususnya SPR.

Justeru, saya ingin memberi amaran kepada Zahid. Kamu jangan memperbodohkan rakyat khususnya bangsa Johor. Meskipun pelbagai taktik kotor cuba dilakukan oleh UMNO dan BN untuk kekal berkuasa menjelang PRU ke-14 ini, saya yakin ia tetap tidak akan mampu menahan gelombang perubahan rakyat.

Dan PH akan sentiasa bersama-sama menggembeling perjuangan dan harapan rakyat menuju PRU ke-14 bagi membina semula Malaysia yang lebih gagah dan bermaruah. – Roketkini.com

*Sheikh Omar Ali adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor merangkap Pegawai Khas Ahli Parlimen Kluang