Berita

Pemandu e-hailing dinasihat jangan sampai terjerat hutang kenderaan

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Pemandu Grab dan Uber dinasihatkan agar berhati-hati dalam membeli kenderaan baru secara ansuran bulanan untuk tujuan menjalankan perkhidmatan ‘e-hailing’ itu.

Ini kata Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY), Rajiv Rishyakaran, ekoran pemandu Grab dan Uber memperolehi pendapatan yang semakin rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya mengikut kajian yang dilakukan DAP.

“Membeli kenderaan baru semata-mata untuk memandu perkhidmatan Uber dan Grab akan mendatangkan masalah kewangan, yang terhasil daripada ansuran bulanan, insuran dan kos penyelenggaraan kenderaan.

“Dan pembelian kereta akan mengikat seseorang pembeli untuk bekerja dengan industri (Grab dan Uber) terbabit untuk sekurang-kurang beberapa tahun, kerana mereka tidak boleh menjual kereta yang berusia setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh sebab itu, kata Rajiv yang juga Adun Bukit Gasing, pemandu perkhidmatan Grab dan Uber yang menggunakan kenderaan sedia ada berisiko rendah berbanding membeli kenderaan baru yang memerlukan seseorang itu membayar ansuran selama tujuh hingga ke sembilan tahun.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dasar baru Barisan Nasional (BN) yang mengalakkan pemandu Grab dan Uber membeli Proton Iriz bagi tujuan menjalankan perkhidmatan berkenaan. – Roketkini.com