Berita

Jabatan Perhutanan Johor diminta kaji semula bayaran permit masuk Hutan Lipur

JOHOR BAHRU, 12 JUL: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) diminta supaya mengkaji semula kadar bayaran permit masuk ke kawasan Hutan Lipur di negeri ini.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, terdapat rungutan daripada orang awam yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran yang dianggap terlalu mahal dan tidak berpatutan.

Melalui makluman Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, katanya, kumpulan pendaki yang mempunyai ahli seramai 15 orang atau ke bawah akan dikenakan bayaran minimum sebanyak RM150 jika mendaki melebihi aras satu.

“Dari sudut keselamatan dan penyelenggara, saya amat bersetuju permit masuk dikenakan dan bayarannya mestilah munasabah.

“Namun begitu, bayaran permit masuk yang telah ditetapkan ini tidak perlulah terlampau tinggi di tempat tumpuan orang awam yang mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti pendakian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kawasan Hutan Lipur berkenaan adalah Taman Eko Rimba Gunung Belumut; Kluang-Gunung Belumut; Taman Eko Rimba Gunung Pulai; Kulai-Gunung Pulai; dan Taman Eko Rimba Sg. Bantang, Segamat-Gunung Bekok.

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP turut mencadangkan Pejabat Hutan Daerah Johor Selatan supaya menempatkan kaunter di kaki gunung bagi melancarkan prosedur permohonan permit tanpa perlu melalui banyak kerenah birokrasi.

Dalam masa yang sama, beliau turut ingin tahu bagaimana JPNJ akan membelanjakan hasil kutipan bayaran permit berkenaan.

“Pengunjung Hutan Lipur Gunung Pulai 1 melebihi 50,000 orang setahun. Bayaran permit masuk yang baru dikenakan ini bermaksud kutipan yang setinggi RM500,000 setiap tahun bagi Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

“Menjadi persoalan kepada saya berkaitan kadar bayaran yang dikenakan ini, bagaimana kutipan ini akan digunakan? Adakah perkhidmatan yang diberikan akan lebih bertambah berkualiti?” soalnya.

Memandangkan kadar permit yang terlalu tinggi, beliau turut menyarankan agar JPNJ mengkaji semula kemudahan seperti pondok rehat, tandas dan sistem amaran awal di Hutan Lipur Gunung Pulai 1.

“Bayaran yang tinggi dikenakan perlulah setimpal dengan nilainya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Hutan Lipur Gunung Pulai 1 dibuka untuk orang awam pada September 2016 dengan kos hampir RM700,000. – Roketkini.com