Berita

Dakwaan ‘120 cawangan hantu’ tidak benar, DAP sanggah laporan akhbar pro-BN

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Laporan Sin Chew Daily bertarikh 19 Julai lalu yang mendakwa tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang dijalankan 2013 kononnya akibat kewujudan 120 buah ‘cawangan hantu’ adalah tidak benar.

Dalam kenyataannya hari ini, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata, laporan itu juga tidak disertakan sebarang bukti.

“Pihak kami ingin menegaskan bahawa pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas DAP pada 29 September 2013 adalah berpandukan sepenuhnya kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan DAP.

“Juga perlu ditegaskan bahawa pihak kami telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS selama ini. Setiap dokumen dan senarai nama yang diminta daripada DAP, telahpun diserahkan kepada ROS,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Menurut Teresa, DAP kini sedang berusaha untuk mengaturkan pertemuan dengan Ketua Pengarah ROS berhubung isu yang timbul.

“Kami meminta pegawai kanan ROS untuk berjumpa dengan pihak DAP dengan secepat mungkin.

“Kami juga berharap ROS dapat menunjukkan bukti tentang tuduhan mereka,” katanya lagi.

Pada 7 Julai lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru dengan dakwaan kononnya pelantikan CEC pada 29 September 2013 sebagai tidak sah

Apa yang menimbulkan persoalan, arahan itu dibuat secara tiba-tiba setelah empat tahun pemilihan CEC dibuat.

DAP, dalam masa yang sama tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung perkara terbabit dan arahan pemilihan semula itu hanya dibuat melalui kenyataan media.

Surat rasmi itu bagaimanapun telah dikeluarkan pada 17 Julai lalu setelah ROS diberi masa 48 jam untuk berbuat demikian. – Roketkini.com