Berita

Empat langkah pembersihan dosa BN, jika Ku Nan mahu tambat hati rakyat

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Beberapa langkah radikal perlu diambil Barisan Nasional (BN) jika parti pemerintah itu serius mahu menambat semula hati rakyat negara ini.

Antaranya, kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng adalah dengan menyerahkan semula berlian bernilai AS$27.3 juta – yang didakwa diberikan kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor – kepada pihak polis atau pihak berkuasa Amerika Syarikat.

“Hadiah penuh misteri ini mesti dikembalikan kepada rakyat Malaysia kerana ia dipercayai telah dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB, dana berdaulat negara.

“Kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan isterinya belum menafikan kewujudan berlian ini,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Lip Eng berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Ku Nan) yang berkata kerajaan kononnya sedia untuk memperbaiki segala kesilapan yang telah dilakukan BN sebelum ini.

“Kami bukan parti yang sempurna. Kami tidak maksum, kita bukan orang yang sempurna.

“Jadi, apa jua yang kita buat kesilapan, kita bersedia untuk membetulkannya, seperti apa yang sedang kita lakukan hari ini (pelancaran rumah mampu milik),” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan dalam pada itu turut meminta agar BN membatalkan status Akta Rahsia Rasmi (OSA) ke atas Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen.

“Laporan tersebut melibatkan wang rakyat dan bukan wang Najib atau Rosmah.

“Kenapa rakyat dihalang daripada mengetahui kebenaran di sebalik laporan terbabit? Adakah kerana bukan sebentuk tetapi lebih banyak lagi intan berlian disebut dalam laporan tersebut?” soalnya.

UMNO-BN juga, katanya, digesa membersihkan “dosa dan pengkhianatan” terhadap rakyat ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

“Batalkan GST dan mungkin rakyat akan menyokong BN,” ujarnya.

Menambah kepada tuntutan itu, beliau berkata, kehilangan sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada pilihan raya umum lepas mungkin akan berjaya dipulihkan jika mereka serius dalam menyelesaikan misteri yang menyelubungi kematian Teoh Beng Hock.

“Mahkamah telah pun memutuskan bahawa mendiang Teoh Beng Hock telah terbunuh dalam tahanan Suruhanya Pecengahan Rasuah Malaysia (SPRM) lapan tahun lalu. Pun begitu, BN enggan menghukum suspek yang terlibat sehingga ke hari ini,” ujarnya.

“Jenayah membunuh tiada tarikh luput untuk diambil tindakan. Bagi membetulkan kesilapan dan jenayah ini, Najib dan kabinetnya boleh membuka semula siasatan, supaya keadilan ditegakkan bagi pihak mangsa, keluarganya dan mereka yang terlibat menyebabkan kematiannya.” – Roketkini.com