Berita

BN mesti terima hakikat, sudah 27 ribu buah rumah mampu milik dibina di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 4 OGOS: Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membina lebih banyak rumah mampu milik (RMM) di Pulau Pinang berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negeri itu sebelum tahun 2008.

Kurang 10 tahun memerintah negeri Pulau Mutiara itu, kata Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, HARAPAN setakat ini telah membina 27,230 unit RMM.

“Dalam pada ini, pihak Kerajaan Pusat tidak boleh lari dari hakikat bahawasanya di dalam tempoh masa 2000 hingga 2007 cuma 5,124 unit RMM dibina oleh Kerajaan BN terdahulu.

“Ini adalah berbanding sejumlah 20,887 unit RMM yang telah dibina dalam tempoh 2008 sehingga 2016 di bawah pimpinan Kerajaan Negeri HARAPAN,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Beliau membuat perbandingan berkenaan sebagai mengulas Laporan Ketua Audit Negara yang mendakwa pengagihan RMM yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya tidak memuaskan.

Malah, katanya yang juga Adun Dato Keramat, tidak ada satu pun unit RMM di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) hasil inisiatif kerajaan Persekutuan BN dibina di Pulau Pinang.

“Sebenarnya yang perlu diaudit adalah prestasi Kerajaan Pusat di dalam membekalkan unit-unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan unit-unit perumahan RMM dan Mampu Milik ke Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Mengulas mengenai bilangan unit RMM yang masih tidak berpenghuni, Jagdeep berkata, kebanyakan pemohon menolak untuk menduduki sesuatu penempatan RMM yang jauh daripada kemudahan asas seperti sekolah.

“Ia boleh dilihat bahawa kesemua PPR telahpun diisi oleh pemohon yang layak kecuali di Desa Wawasan menurut rekod kami

“Pengalaman kami menunjukkan bahawa majoriti pemohon tidak mahu memilih projek PPR di Desa Wawasan kerana ia tidak sesuai memandangkan keadaan geografi mereka, terutamanya tempat kerja mereka dan di mana anak-anak mereka bersekolah pada masa sekarang.

“Maka, pemohon tersebut tidak dapat menerima unit PPR di Desa Wawasan dan pihak kami tidak boleh memaksa mereka memilih unit-unit tersebut di Desa Wawasan,” ujarnya.

RMM yang dibina kerajaan negeri dijual dengan harga dari RM42,000 hingga RM300,000 seunit. Pulau pinang juga mempunyai had kelayakan pendapatan terendah bagi permohonan PPR iaitu RM1,500 berbanding negeri lain iaitu RM3,000. – Roketkini.com