Berita

Kerajaan mungkin terpaksa ‘selamatkan’ 1MDB langsai hutang – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan Malaysia berkemungkinan terpaksa menyelamatkan (bailout) 1MDB berikutan kegagalan firma pelaburan milik negara itu melangsaikan hutangnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, ini kerana tidak ada satu pun bank tempatan mahupun antarabangsa yang menurutnya mahu menguruskan satu-satunya aset dana pelaburan dalam bentuk ‘unit’ yang dimiliki syarikat berkenaan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini mendedahkan bahawa dana pelaburan dalam bentuk ‘unit’ itu adalah palsu.

“Ia (dana pelaburan dalam bentuk ‘unit’) direka bagi menutup penyelewengan lebih US$1 bilion daripada dana 1MDB ke Good Star Limited yang sepatutnya digunakan untuk melabur ke dalam syarikat Petrosaudi International Limited,” kata Tony dalam kenyataan.

Malah, katanya, BSI Singapura yang sebelum ini menjadi pemegang amanah (custodian bank) bagi ‘unit’ tersebut telah dikenakan tindakan pembatalan lesen oleh kerajaan Singapura dan diarahkan supaya menutup operasinya.

“Mana-mana bank, sama ada di Malaysia mahupun antarabangsa tidak akan mahu mengendalikan penjualan dana pelaburan palsu dalam bentuk unit milik 1MDB itu.

“Kerana mana-mana pihak yang didapati menguruskan dana berkenaan mempunyai risiko dikenakan tindakan atas kesalahan pengubahan wang haram,” katanya.

1MDB yang kini sarat hutang, pada dua hari lepas, dilaporkan gagal membuat sebarang pembayaran kepada firma Abud Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) sejumlah RM2.58 bilion seperti yang dipersetujui dalam perjanjian penyelesaiaan.

Ia adalah jadual pembayaran pertama dari 1MDB kepada IPIC, manakala urus niaga kedua dengan jumlah yang sama perlu dibayar pada 31 Disember tahun ini menjadikan keseluruhan hutang yang perlu dibayar adalah RM5.16 bilion.

Dana pelaburan dalam bentuk unit yang kononnya dimiliki 1MDB itu menjadi perhatian berikutan dilihat sebagai salah satu cara yang boleh membantu syarikat terbabit membayar kembali hutangnya kepada IPIC.

Mengulas perkara berkaitan, Tony berkata, keputusan Speaker hari ini menolak usul Ahli Parlimen Segambut berhubung isu berkenaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat dibuat kerana untuk menjaga ‘air muka’ Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Publisiti DAP itu justeru mencabar Perdana Menteri berkenaan berhadapan dengan jutaan rakyat Malaysia dan menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan mengenai skandal RM50 bilion 1MDB.

“Jika tidak ada apa yang hendak disorokkan dan apa yang dikatakan kami di pihak pembangkang tidak berasas seperti yang selalu dituduh pemimpin BN, silalah ke Parlimen, berdebat dan jawab segala soalan (berhubung 1MDB) secara terbuka,” tegasnya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dihalau keluar oleh Speaker Dewan Rakyat berikutan memprotes keputusannya menolak usul berhubung 1MDB. – Roketkini.com