Berita

Siar berita palsu Exco P.Pinang: Media pro-BN berdepan tindakan saman

GEORGE TOWN, 21 OGOS: Beberapa media kawalan Barisan Nasional (BN) bakal berhadapan tindakan undang-undang ekoran penyiaran berita palsu kononnya empat akaun milik Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh telah dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Phee dalam kenyataannya berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya RSN Rayer supaya menghantar notis undang-undang kepada media tersebut demi membersihkan nama dan melindungi keselamatan keluarganya.

“Saya dan pihak keluarga amat terperanjat dan marah dengan laporan palsu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, begitu juga akhbar berbahasa Cina; Sin Chew Jit Poh dan Guan Ming Daily kononnya sejumlah RM2 juta dalam empat akaun bank saya telah dibekukan SPRM.

“Saya tidak memiliki RM2 juta seperti yang dilaporkan dalam akaun-akaun bank tersebut. Saya akan memfailkan saman terhadap media kawalan BN ini yang dilihat mahu memusnahkan reputasi dan integriti saya termasuk imej bersih kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang,” kata beliau.

Adun Sungai Puyu itu turut melahirkan rasa hairan dari mana maklumat-maklumat palsu tersebut diperolehi.

“Adakah mereka mendapatkannya dari SPRM atau adakah mereka mencipta pembohongan itu untuk memusnahkan kerjaya politik saya dan menjatuhkan kerajaan Pulau Pinang?

“SPRM perlu bersih dan mengeluarkan kenyataan sama ada wujusdnya maklumat bocor dan jika ada, ia perlu diambil tindakan tegas,” katannya.

Tindakan media kawalan BN itu katanya jelas satu lagi percubaan konspirasi politik terhadap dirinya dan kerajaan negeri.

“Saya ingin mengulangi bahawa saya bersih dan bebas dari rasuah. Saya tidak pernah mengambil wang dari kilang haram penapisan karbon di Sungai Lembu; dan saya mahupun keluarga tidak mempunyai sebarang kepentingan kepada kilang mahupun pemiliknya,” tegas Phee. -Roketkini.com