Berita

Phee Boon Poh dedah minit mesyuarat, Jabatan Alam Sekitar sahkan tiada pencemaran

GEORGE TOWN, 22 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini tampil mendedahkan butiran mesyuarat bertarikh 6 Mei 2015 berhubung aduan terhadap sebuah kilang pemprosesan habuk kayu tidak berlesen yang beroperasi di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Pendedahan minit mesyuarat oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pulau Pinang, Phee Boon Poh itu adalah bagi membuktikan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan atau mengambil tindakan yang perlu bagi menangani aduan berkenaan.

Mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Rozali Mohamud yang ketika itu merupakan Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) – sekarang Yang Dipertua – bersetuju untuk mengenakan tindakan kompaun terhadap kilang berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen.

Keputusan itu diambil setelah mengambil kira pandangan pihak pengadu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Norlela Ariffin, Boon Poh yang juga Adun Sungai Puyu dan wakil Jabatan Alam Sekitar.

Berdasarkan minit mesyuarat setebal empat halaman itu, Jabatan Alam Sekitar mendapati tiada pencemaran dihasilkan daripada kilang terbabit dan menyokong premis berkenaan untuk terus beroperasi jika beberapa syarat keselamatan dipatuhi selain keperluan untuk memiliki lesen.

Boon Poh sebelum ini ditahan reman secara tidak sah selama tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran menulis sepucuk surat memohon supaya tindakan penutupan kilang berkenaan ditangguhkan sehingga penyelesaian terbaik dicapai.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar turut menafikan laporan media pro UMNO-Barisan Nasional (BN) bahawa sejumlah RM2 juta dalam empat akaun peribadinya telah dibekukan SPRM.

Sehubungan itu, Boon Poh dalam kenyataan semalam telah mengarahkan peguamnnya RSN Rayer menghantar notis undang-undang kepada media terbabit demi membersihkan nama dan melindungi keselamatan keluarganya.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan bahawa Boon Poh tidak melakukan sebarang kesalahan rasuah berhubung isu kilang tidak berlesen berkenaan.

“(Boon Poh) tidak menerima sebarang suapan, sebarang wang. Beliau tidak ada kepentingan dan tidak ada pertalian kekeluargaan dengan pemilik-pemilik kilang tidak berlesen ini,” ujarnya kepada pemberita.

“Beliau (Boon Poh) hanya menjalankan tugas sebagai Exco dan sekiranya menjalankan tugas boleh ditangkap rasuah saya rasa itu sesuatu yang baru. Kita serah kepada SPRM untuk jalankan siasatan dan mahu tahu di manakah rasuah berlaku.” – Roketkini.com