Rencana

Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya – Bahagian I

Banyak yang boleh diketahui tentang perwatakan sesebuah negara melalui undang-undangnya. Oleh itu, perubahan sistem perundangan sesebuah negara mencerminkan evolusi sosio-politik masyarakatnya.

Contohnya, Perlembagaan Amerika Syarikat. Sejak pemasyhuranundang-undang tersebut pada tahun 1789, perlembagaan ini telah dipinda sebanyak 27 kali. Sepuluh pemindaan terawal dikenali sebagai Bill of Rights dan memperlihatkan aspirasi dan keinginan sebuah negara baru untuk mempertahankan hak asasi berkaitan keagamaan, kebebasan bersuara, media, hak berhimpun dan hak untuk bersenjata serta perlindungan dalam sistem perundangan keadilan jenayah.

Setelah berakhirnya Perang Saudara pada tahun 1865, pindaan telah dilakukan dengan tujuan memansuhkan perhambaan dan memperhalusi hak rakyatnya. Apabila kurun kedua puluh makin mendekat, perlembagaan Amerika dipinda lagi bagi memberi jalan kepada perubahan semasa – hak wanita untuk mengundi, perkara-perkara percukaian dan satu tempoh masa yang pelik dalam sejarah moden Amerika iaitu “Prohibition”.

Pembunuhan Presiden John F. Kennedy pada tahun 1963 telah memberi laluan kepada pemindaan ke-25, yang menetapkan tatacara jelas bagi mengisi kekosongan jawatan Presiden secara tiba-tiba. Pada tahun 1971 pula, setelah aktivis-aktivis mahasiswa melancarkan protes menentang Perang Vietnam, Perlembagaan telah dipinda sekali lagi untuk menurunkan umur layak mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.

Kisah Malaysia

Evolusi Perlembagaan Persekutuan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 juga memberikan gambaran perjalanan negara kita- samada semakin ke depan atau belakang, bergantung kepada perspektif – selama usia 60 tahun kemerdekaannya.

Berbeza dengan Amerika, Dewan Rakyat Malaysia kurang segan untuk melakukan pemindaan terhadap undang-undang tertinggi negara. Setakat ini, sebanyak 57 pindaan terhadap perlembagaan telah dilakukan, hampir satu pindaan bagi setiap tahun. Namun, perbandingan sebegini agak kurang tepat, memandangkan Perlembagaan AS yang hanya mengandungi tujuh perkara, bertujuan menyediakan satu “kerangka kerajaan” yang mengagihkan bidang kuasa dan fungsi yang berlainan kepada tiga cabang utama kerajaan persekutuan, yakni perundangan (Kongres), kehakiman dan eksekutif (Pejabat Presiden).

Perlembagaan Malaysia pula adalah 12 kali lebih panjang, mengandungi 15 bahagian, 230 perkara dan 113 jadual – kesemuanya menjelaskan dengan teliti pelbagai perkara dari kedai todi ke pemberian geran kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri. Bagi tujuan praktikal, kebanyakan fasal-fasal ini memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Namun, beberapa orang sarjana juga menyatakan bilangan sebenar pindaan yang telah dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan mencecah bilangan hampir 700 kali, sekiranya setiap pindaan yang dibuat diambil kira. Meskipun begitu, intipati pindaan lebih penting daripada bilangan pindaan yang telah dibuat. Menurut pakar perlembagaan Saleem Faruqi, pindaan ke atas beberapa perkara kritikal telah menyebabkan Perlembagaan Merdeka kehilangan semangat asalnya. Malah, sarjana perundangan, HP Lee telah menggambarkan pindaan-pindaan yang dilakukan telah “merobohkan benteng-benteng pertahanan yang dianggap oleh Suruhanjaya Reid sebagai mustahak bagi pertumbuhan sebuah negara demokrasi yang sihat”.

1960: Pengakhiran Darurat tanpa Kehilangan Kuasa Darurat

Pindaan besar kali pertama ke atas Perlembagaan Persekutuan dilakukan pada tahun 1960, tiga tahun selepas Merdeka. Kerajaan telah membentangkan usul Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) Perkara 1960 dan meminda 33 perkara dan memasukkan dua perkara baru, di samping meminda Jadual Kedua. Meskipun bukan tindakan luar biasa bagi sebuah negara yang baru dibentuk untuk meminda perlembagaannya, beberapa perubahan tersebut mempunyai kesan yang serius dan meluas.

Adalah penting bagi kita untuk memahami konteks zaman tersebut terlebih dahulu. Malaya, sebagaimana negara dikenali pada waktu itu telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 di tengah-tengah kemaraan komunis yang bermula pada tahun 1948. Pada tahun 1960, perang telah mula reda apabila pihak komunis yang ingin menuntut kemerdekaan secara paksaan daripada British telah dihentikan dengan Merdeka.

Namun, kerajaan lebih berminat untuk mengakhirkan darurat tanpa kehilangan kuasa darurat daripada meraikan era keamanan dan kebebasan yang baru dinikmati setelah perang. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui pindaan yang dibuat terhadap Bahagian XI dalam Perlembagaan, melibatkan Perkara 149 hingga Perkara 151 yang melibatkan undang-undang menentang perbuatan subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.

Perkara 149 membenarkan penggubalan Akta-akta Parlimen yang akan, jika berdepan dengan ancaman subversif terhadap Persekutuan, menggantungkan kebebasan asas yang termaktub dalam Perkara 5, 9, 10 dan 13 berkenaan kebebasan bersuara, perkumpulan, pergerakan dan harta benda serta kebebasan dari penahanan yang tidak mematuhi undang-undang. Perkara ini dapat difahami dengan situasi keselamatan yang meruncing pada waktu itu. Walau bagaimanapun, perkara yang sama turut menyatakan “sunset clause” di mana undang-undang sebegitu akan terbatal selepas setahun. Dalam erti kata lain, undang-undang yang membenarkan penahanan pencegahan hanya bersifat sementara.

Malangnya, benteng pertahanan yang kritikal ini dihapuskan dalam pemindaan, yang kemudiannya memberi laluan kepada penggubalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal kejamnya. ISA terus kekal berkuasa sehingga dihapuskan 52 tahun kemudian, tetapi digantikan dengan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.

Sementara itu, Perkara 150 berkenaan pengisytiharan darurat, yang pada asalnya mengandungi satu klausa yang wajib diusulkan di kedua-dua dewan Parlimen secepat mungkin sekiranya berlaku peristiwa darurat. Setelah mencapai kata sepakat, Parlimen hendaklah meluluskan resolusi darurat. Kegagalan bertindak demikian akan menyebabkan resolusi tidak terpakai lagi secara automatik selepas dua bulan dari tarikh pengusulan. Bagi keadaan di mana Parlimen tidak bersidang pada waktu berkenaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan perintah darurat yang akan berakhir setelah 15 hari persidangan Parlimen.

Namun, pindaan telah dilakukan untuk menggugurkan keperluan persetujuan dari Parlimen. Sebarang pengisytiharan darurat akan terus berkuatkuasa sehingga dibatalkan oleh Parlimen. Persetujuan dari Parlimen hanya diperlukan dalam mengakhirkan satu darurat; sebelum ini, persetujuan dari Parlimen diperlukan untuk meneruskan perintah darurat. Pemindaan ini bakal mencipta banyak darurat jangka masa panjang dan terutama sekali, penggantungan Parlimen pada tahun 1969.

Walaupun kebanyakan pindaan perlembagaan yang dibuat pada tahun 1960 hanya bersifat pentadbiran, terdapat juga beberapa pindaan yang menimbulkan persoalan. Sebagai contohnya, pindaan ke atas Perkara 122, 125 dan 138 telah membubarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan(JLSC), yang sebelum ini bertanggungjawab memberi pengesyoran berkaitan perlantikan kehakiman.

Sehubungan itu, kuasa untuk memulakan tindakan disiplin terhadap hakim dipindahkan dari JLSC kepada Agong atas nasihat perdana menteri, sekali gus menggugat kebebasan badan kehakiman. Kesan tindakan ini tidak terpapar dengan jelas sehingga 28 tahun kemudian, apabila berlakunya penyingkiran Ketua Hakim Negara Salleh Abbas dan dua lagi hakim Mahkamah Agung, satu krisis kehakiman negara yang belum pulih sepenuhnya.

Selain itu, satu pindaan terhadap Perkara 145 telah mengubah pelantikan Peguam Negara dari pelantikan tetap, sama seperti seorang hakim Mahkamah Agung, kepada jawatan yang dipegang selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kesan pindaan ini menjadikan jawatan Peguam Negara sebagai satu pelantikan politik, di mana Peguam Negara mungkin merupakan ahli kerajaan dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Malah, dari 1960-an sehingga awal 1980-an, jawatan tersebut biasanya disandang oleh ahli-ahli Parlimen. Walau bagaimanapun, satu lagi kesan pindaan tersebut ialah Peguam Negara boleh dilucutkan pada bila-bila masa, sebagaimana yang berlaku ke atas Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengingkari Perdana Menteri pada tahun 2016.

Kisah Malaysia Melalui Perlembagaannya – Bahagian II