Berita

Wanita turun jalan raya kemuka 3 tuntutan politik bersih

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kejayaan himpunan wanita bantah politik toksik di ibu negara semalam mencerminkan komitmen tinggi pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu wanita negara ini menuntut politik bersih.

Bermula sekitar jam 5.30 petang, peserta yang rata-ratanya berbaju ungu mula memenuhi lokasi berarak dari Maju Junction menuju Sogo diketuai Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan penganjur.

Tiga pendirian dan tuntutan disuarakan wanita dalam perhimpunan ini ialah:

1)   Bantahan terhadap politik toksik yang makin berleluasa.

2)   Membantah perlakuan berunsur ganas, perbuatan ancaman terhadap individu dan sikap berunsur rasis serta seksis.

3)   Wanita juga menyatakan pendirian sebulat suara menolak calon dari mana-mana parti yang menggunakan keganasan dan juga politik toksik.

Dalam ucapannya, Tun Siti Hasmah menzahirkan kebimbangan seseorang itu boleh dikasari meskipun hanya menyatakan pandangan.

“Sebab itu kita wanita membantah sekeras-kerasnya politik toksik sebelum toksik itu masuk ke dalam badan kita dan menjadi toksinnya, baiklah kita cegah,” katanya.

Ia turut mendapat dukungan pemimpin wanita HARAPAN menyaksikan kehadiran Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah; Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, wakil AMANAH dan ramai lagi.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok dalam ucapannya menzahirkan rasa kesal dan bimbang terhadap tindak-tanduk politik toksik yang semakin berleluasa dengan memberi contoh insiden samseng yang berlaku di pejabat sebuah akhbar tamil baru-baru ini.

“Ini semua juga adalah politik toksik. Tiba masanya, kita tidak mahu ia berlaku lagi. Saya amat gembira melihat ramai  kaum lelaki datang bersama kita untuk purple walk ini.

“Saya berharap bagi yang hadir hari ini boleh membangkitkan kesedaran kepada lebih ramai lagi untuk membantah politik toksik supaya politik negara kita bersih,” katanya.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah dalam ucapannya menyeru golongan wanita berjuang menentang demi masa depan negara dengan menolak politik toksik.

“Wanita adalah ibu, kita tahu bagaimana nak mendidik anak. Sebagaimana perasaan seorang ibu, negara ini adalah sepertimana kita nak didik anak kita, kita mahukan masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Ketua Wanita DAP, Chong Eng menyeru golongan wanita negara ini memainkan peranan aktif menjadi pendesak sebarang dasar dan keputusan kerajaan yang meminggirkan wanita.

“Saya berharap, semua wanita akan bersama-sama memilih sebuah kerajaan yang bersih, adil kepada semua, sebuah kerajaan yang mampu melaksanakan polisi yang adil kepada wanita,” katanya.

Turut menyampaikan ucapan ialah wakil wanita Orang Asli yang mewakili Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JAKOSM), Fatimah yang memberi mesej menolak politik toksik yang telah merosakkan hutan dan warisan alam.

“Saya bantah politik toksik sebab apa? Sebab saya menyayangi hutan. Tiada hutan tiadalah saya. Tiada hutan tiadalah Orang Asli,” katanya lagi.

Selain badan-badan wanita, perarakan itu turut mendapat sokongan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM dan IKRAM. –Roketkini.com