Berita

Jabatan Perhutanan Sabah dikecam tidak serius tangani isu lori balak lebih muatan

TAWAU, 13 SEPT: Jabatan Perhutanan Sabah (JBS) didakwa gagal memantau kekerapan lori balak lebih muatan menggunakan jalan Kalabakan-Sapulut sehingga menyebabkan kerosakan jalan raya yang teruk.

Adun Sri Tanjung, Chan Foong Hin berkata, ini berdasarkan aduan penduduk setempat yang melihat sendiri aktiviti keluar dan masuk lori-lori berkenaan yang berlanjutan sehingga ke waktu malam.

“Isu lori balak lebih muatan telah dibangkitkan berkali-kali sebelum ini, namun sehingga kini tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil pihak berkuasa bagi menanganinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lori balak lebih muatan dikenalpasti sebagai punca utama terhadap kerosakan jalan bernilai jutaan ringgit Keningau-Sapulut.

Menurut Chan yang juga Setiausaha DAP Sabah, pegawai JBS perlu melakukan kerja-kerja pemantauan dengan memastikan supaya semua lori balak mematuhi had muatan sebelum dibenarkan memasuki jalan utama.

Malah, katanya, JBS mempunyai kuasa untuk mengenakan saman setinggi RM350,000 terhadap pihak yang masih berdegil.

“Ini bukan perkara baru pun, JBS mempunyai kuasa berkenaan sejak tujuh tahun yang lalu,” ujarnya.

Tambah Chan, pemantau boleh dilakukan dengan memastikan panjang lori balak tidak melebihi dua meter dan muatan balak tidak melebihi 52 padu meter bagi setiap lori. – Roketkini.com