Berita

Pelaburan AS dalam Pulau Pinang terus berkembang di sebalik kegagalan Najib

GEORGE TOWN, 14 SEPT: Di sebalik kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa pulang pelaburan dari Amerika Syarikat (AS), Pulau Pinang pula sebaliknya diberi kepercayaan sebagai destinasi pelaburan negara kuasa besar dunia itu.

Taman Perindustrian Batu Kawan menjadi lokasi kilang pertama milik Boston Scientific Corp di rantau Asia dan yang ke-19 di peringkat antarabangsa. Syarikat gergasi peralatan perubatan itu turut tersenarai di papan Bursa Saham New York, AS.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam kenyataan hari ini menyifatkan kejayaan itu sebagai isyarat keyakinan yang kuat para pelabur terhadap kemampuan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan mereka.

Selain pelaburan itu, katanya, perluasan kilang UST Global dan pelancaran Broadcom Global Distribution Warehouse tidak lama lagi turut membuktikan bahawa tuduhan pihak tertentu kononnya pelaburan AS tidak masuk ke Pulau Pinang adalah palsu.

“Malah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memfokuskan pelaburan Boston Scientific di Pulau Pinang pada satu halaman penuh dalam iklan yang disiarkan dalam ‘The Economist’ keluaran 26 Ogos-1 September.

“MIDA turut menyatakan bahawa Boston Scientific akan menghasilkan komponen struktur jantung, fiber optik perubatan dan peralatan peranti biopsi,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Kilang pembuatan dengan keluasan 375,000 kaki persegi itu, kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan akan dirasmikan dalam satu majlis pembukaan yang akan diadakan pada Februari 2018.

Sementara itu, memetik Naib Presiden dan Pengurus Besar Pengilangan dan Pengedaran Malaysia, Dave Mitchell, katanya, syarikat berkenaan telah menyalurkan dana sebanyak ratusan juta ringgit untuk kilang tersebut.

Syarikat berkenaan juga, menurut Adun Air Putih itu, merancang untuk menambah sebanyak 400 peluang pekerjaan tempatan dalam tempoh dua tahun.

“Beliau menambah bahawa ‘syarikat tersebut memilih tapak di Pulau Pinang kerana faktor tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, infrastruktur untuk menyokong bidang pembuatan dan ia mesra perniagaan’,” kata Guan Eng. – Roketkini.com