Berita

Benarkah KWSP setuju labur di AS atau ada yang mendesak?

PETALING JAYA, 18 SEPT: Meskipun kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhak untuk melabur di luar negara, persoalannya adakah keputusan itu mendapat sokongan jawatankuasa pelaburan agensi terbabit atau terdapat ‘campurtangan politik’.

Persoalan ini dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak yang menafikan dakwaan campurtangan politik dalam keputusan berkenaan.

Ia ekoran tindakan Najib mengumumkan usaha memperkukuhkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) sewaktu kunjungannya minggu lalu yang antara lain membuat keputusan untuk melabur dalam pembangunan semula infrastruktur negara itu.

“Memandangkan Datuk Seri Najib mendakwa keputusan itu bukannya dibuat oleh ahli politik, kami ingin bertanya jika jawatankuasa pelaburan KWSP telah membuat keputusan untuk melabur AS$3 bilion hingga AS$4 bilion untuk menyokong pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat?” soalnya.

Ini kerana, jika pelaburan itu tidak dipengaruhi oleh politik, dan jika KWSP tidak memutuskan untuk melabur jumlah tertentu di AS, ia bermakna Najib membuat janji kosong kepada Presiden AS Donald Trump katanya.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu menjelaskan, meskipun KWSP mempunyai hak untuk menentukan pelaburannya di luar negara selepas menjalankan analisis wajar, bagi rakyat Malaysia, tindakan itu tidak wajar.

Malang lagi, keputusan Najib mahu berbelanja berbilion-bilion ringgit menyokong ekonomi AS dibuat ketika Malaysia memiliki keperluan mendesak.

“Namun, bagi rakyat Malaysia, tidak ada resolusi atau komitmen yang KWSP mahu melabur jumlah yang besar itu untuk menyokong pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat.

“Kita tidak mempunyai wang untuk membina infrastruktur sendiri dan perdana menteri kita mahu membantu menjadikan Amerika hebat sekali lagi,” katanya. – Roketkini.com