Berita

Guan Eng umum bayaran RM400 kepada mangsa banjir Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan bayaran sebanyak RM400 secara “one-off” kepada mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat kerosakan bangunan dan kenderaan ekoran bencana itu.

Mereka yang terlibat perlu mengisi borang permohonan yang akan diedarkan pada 25 September 2017, hari Isnin hadapan dan harus dipulangkan dalam tempoh sebulan.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, proses bayaran ini akan diuruskan oleh wakil rakyat, Ahli Majlis; Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan JKKK Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

Bayaran khas itu di bawah seliaan  Exco Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh, manakala  bagi agensi Kerajaan Negeri akan diketuai oleh  Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Binti Haji Abu.

“Perlu ditegaskan bahawa bayaran ini bukanlah suatu “precedent” tetapi adalah “one-off” berikutan hujan lebat luar biasa akibat tempias besar Taufan Doksuri, yang mana jumlah hujan turun yang direkodkan dalam sehari itu adalah bersamaan dengan sebulan.

“Pada masa yang sama, buat pertama kalinya juga, paras air Empangan Air Itam meningkat begitu mendadak iaitu 26 peratus dalam tempoh masa sehari daripada jumlah sedia ada iaitu 74 peratus sebelum 15 September 2017, menjadikan paras air lebih 100 peratus selepasnya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkara berkaitan, Guan Eng turut membidas media kawalan Barisan Nasional (BN) yang mempolitikkan isu berkenaan untuk memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Pulau Pinang.

Katanya, kesan hujan lebat luar biasa itu turut melanda negeri-negeri jiran yang jauh lebih buruk.

“Tetapi gambaran media BN seperti biasa memberikan gambaran palsu seakan-akan bahawa hanya Negeri Pulau Pinang yang banjir.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak akan mencari alasan, tidak akan elak, tidak akan sembunyi dan tidak akan lari daripada tugas dan tanggungjawab untuk berdepan dengan  masalah banjir serius ini,” kata Setiausaha Agung DAP itu. – Roketkini.com