Berita

Wujud usaha terancang fitnah Ketua Menteri P. Pinang menjelang PRU14

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Terdapat usaha terancang dan bersunguh-sungguh untuk memburuk-burukkan dan memalukan pemimpin negeri Pulau Pinang, lebih-lebih lagi Ketua Menteri, dengan segala macam fitnah untuk mencemarkan reputasinya di mata orang awam.

“Dalam keadaan pilihan raya umum yang semakin hampir, pemimpin Pakatan Harapan dalam kerajaan Pulau Pinang menjadi sasaran utama terhadap serangan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Demikian kata Pegawai Khas Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib; mengulas penarik-balikan rayuan mahkamah oleh akhbar New Strait Times (NST) hari ini.

NST justeru terpaksa membayar sebanyak RM450,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan timbalannya, P. Ramasamy selepas akhbar itu menarik balik rayuannya pada 29 Ogos lalu.

NST diarahkan berbuat demikian selepas akhbar itu bertindak menarik balik rayuan yang dibuatnya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada plantif.

“Guan Eng dan Ramasamy (selaku plaintif) masing-masing diberikan RM200,000 setiap seorang dan juga kos guaman sebanyak RM50,000 oleh Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng dan Ramasamy memfailkan saman fitnah terhadap NST dan wartawannya berhubung laporan berunsur fitnah dengan tajuk ‘Indian-interest group claims thugs interrupted meeting’ yang disiarkan di akhbar itu pada 4 Disember 2013.

Mahkamah Tinggi pada awalnya menolak permohonan saman berkenaan, namun, selepas pihak plantif memfailkan rayuan, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa NST bersalah dan mengarahkan akhbar pro-UMNO itu membayar ganti rugi seperti yang ditetapkan.

Raja Syarafina memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa laporan itu antara lain mendedahkan plaintif terhadap pelbagai cemuhan dan NST sepatutnya mendapatkan maklum balas dan pengesahan daripada pihak plantif sebelum menyiarkannya. – Roketkini.com