Berita

UMNO seleweng fakta sebenar tentang peruntukan projek tebatan banjir P. Pinang

GEORGE TOWN, 26 SEPT: Dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM2.6 bilion bagi projek tebatan banjir di Pulau Pinang adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik Dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, hanya RM443 juta daripada RM2.6 bilion sahaja yang dibelanjakan.

“Sebenarnya RM2.6 billion adalah nilai projek-projek yang dipohon oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang tetapi peruntukan asal ini telah dipinda dan jumlah sebenarnya dibelanjakan adalah cuma RM443 juta sahaja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kenyataan ini dibuat ekoran dakwaan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Datuk Seri Zainal Abidin bin Osman.

Mereka dilaporkan berkata bahawa kerajaan persekutuan telah melaksanakan projek tebatan banjir sebanyak RM2.6 bilion di Pulau Pinang dalam tempoh Rancangan Malaysia (RMK) ke-9 hingga ke-11 (2006 hingga 2020).

Faktanya, jumlah peruntukan RMK-9 ke RMK-11 yang telah dipinda hanyalah RM1.79 bilion manakala yang telah dibelanjakan hanyalah RM443 juta.

Menurut Kon Yeow, peruntukan asal pada RMK-9 (2006-2010) berjumlah RM1.4 billion, telah dipinda kepada RM306 juta manakala peruntukan yang telah dibelanja pula adalah RM306 juta.

Bagi RMK-10 (2011-2015) peruntukan asal adalah RM193 juta, peruntukan yang dipinda adalah RM132 juta, peruntukan yang telah dibelanja adalah RM125juta.

Peruntukan asal RMK-11(2016-2020) sebanyak RM205 juta dipinda kepada adalah RM23 juta sahaja manakala peruntukan yang telah dibelanja adalah RM12 juta.

Kon Yeow menegaskan, daripada butiran projek, terdapat banyak projek tebatan banjir tidak dilaksanakan sepenuhnya untuk menangani masalah banjir di Negeri Pulau Pinang.

“Dato Seri Zainal Abidin bin Osman tidak sepatutnya menyembunyi fakta yang penting ini apabila membentangkan senarai projek-projek tebatan banjir.

“Daripada kenyataan Menteri dan juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan , jelasnya Kerajaan Persekutuan mempunyai peranan yang besar dalam melaksanakan projek-projek tebatan banjir,” kata beliau.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berhak menuntut supaya Kerajaan Persekutuan menunaikan kewajipan untuk menangani masalah banjir di Negeri Pulau Pinang.

“Sekiranya projek-projek yang dilaksanakan seperti dirancangkan dengan peruntukan yang asal, adalah dipercayai lebih banyak kawasan hotspot dapat dibebaskan daripada masalah banjir kilat,” katanya lagi. – Roketkini.com