Berita

Khazanah bakal ditimpa ‘bala’ jika Arul Kanda dilantik jadi pengarah urusan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Melantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad yang baru bakal mendatangkan malapetaka terhadap syarikat tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata demikian mengulas laporan akhbar Singapura, The Straits Times yang menyebut Arul Kanda sebagai salah seorang daripada dua calon “luar” yang dijangka bakal mengisi kekosongan jawatan Pengarah Urusan Khazanah Nasional bagi mengantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang akan bersara pada Mei 2019.

“Tidak sukar untuk membayangkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan tugas itu kepada seseorang yang dengan secara suka rela mempertahankan imejnya dan mengambarkan 1MDB kononnya adalah sebuah kejayaan.

“Bagaimanapun, melantik Arul Kanda bagi mengepalai Khazanah bakal mendatang malapetaka terhadap dana berdaulat negara itu, memandangkan dia mempunyai rekod memalukan dalam mentadbir 1MDB,” kata Tony dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP itu, Arul Kanda pernah bercakap bohong di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung aset yang didakwa dimiliki 1MDB dalam syarikat subsidarinya di luar negara.

“Sebagai contoh, dia (Arul Kanda) berkeras mengatakan bahawa pelaburan dalam bentuk ‘unit’ di Singapura telah dicairkan dalam bentuk wang sebanyak AS$1.3 bilion walaupun telah didedahkan bahawa syarikat subsidari yang menyimpan unit berkenaan adalah sebenarnya komplot (scam),” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat Malaysia membantah pelantikan Arul Kanda yang sudah dibuktikan tidak berintegriti dan tidak cekap sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional.

“Jika 1MDB dengan hutang setinggi RM50 bilion pada puncaknya boleh dimusnahkannya, entah apa pula yang akan berlaku dengan dana RM145 bilion yang dimiliki Khazanah Nasional,” ujarnya.

Menurut Straits Times, Arul Kanda dan CEO kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz adalah orang luar yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan tersebut yang dilihat tersasar daripada rancangan asal untuk melantik salah seorang daripada dua pengarah eksekutif Khazanah bagi mengantikan Azman.

Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh peletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional.

Nor Mohamed meninggalkan Khazanah Nasional pada 30 Oktober ekoran testimoninya di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urusniaga forex pada era 1990. – Roketkini.com.