Berita

Terima kasih PM, tapi mana baki peruntukan tebatan banjir P. Pinang?

GEORGE TOWN, 9 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta meluluskan permohonan peruntukan untuk 13 buah projek Rancangan Tebatan Banjir di Pulau Pinang, seperti yang telah dijanjikan tempoh hari.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam ucapannya mengumumkan program Pulau Pinang Bangkit hari ini, membuat gesaan tersebut.

“Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mengenepikan perbezaan fahaman politik untuk melawat Negeri Pulau Pinang dan mangsa-mangsa banjir.

“Kerajaan Negeri harap beliau boleh umumkan bantuan kecemasan segera kepada semua mangsa-mangsa serta meluluskan permohonan projekRTB untuk Negeri Pulau Pinang sebanyak RM 1 bilion.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri telah diluluskan projek RTB sebanyak RM2.6 bilion sejak 12 tahun yang lepas. Akan tetapi daripada jumlah RM2.6 bilion hanya RM1.02 bilion sahaja yang dibelanjakan.

“JPS Pulau Pinang hanya meminta RM1 bilion untuk 13 buah projek RTB di seluruh Negeri Pulau Pinang. Adalah diharapkan Perdana Menteri boleh luluskan permohonan ini sepertimana beliau berjanji akan memberikan pertimbangan serius,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

September lalu Guan Eng telah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menjalankan projek tebatan banjir dengan lebih cepat, khususnya projek tebatan banjir bernilai RM1.4 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, hanya RM300 juta kos projek dibelanjakan manakala baki RM1.1 bilion menjadi tanda tanya.

“Perlu dinyatakan bahawa dengan hujan selebat ini akibat tempias besar Taufan Doksuri, apa-apa Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sudah siap (termasuk RTB Sungai Pinang) tidak akan menghalang berlakunya banjir tetapi siapnya RTB ini akan mengurangkan kesan buruk dan negatif banjir ini,” ujar beliau ketika Doksuri melanda Pulau Pinang dan mengakibatkan banjir buruk ketika itu.

Terlebih dahulu Guan Eng menyatakan rasa kesal terhadap ketiadaan amaran awal diberikan kepada Kerajaan Negeri.

“Jabatan Kaji Cuaca hanya mengumumkan hujan peringkat merah (paling lebat) pada jam 9.30 malam pada malam 4 November 2017 semasa angin ribut dan hujan sedang berjalan. Tidak ada amaran pun ada angin ribut kencang sampai 40 batu sejam,” jelas beliau.

“Kegagalan memberikan amaran awal diakui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri secara terbuka dan juga oleh YAB Perdana Menteri dalam taklimat dalaman apabila mereka melawat mangsa-mangsa banjir masing-masing pada 6 dan 7 November 2017,” tambah beliau.

Pulau Pinang hari ini mengumumkan program Pulau Pinang Bangkit, bernilai RM100 juta bagi membantu mangsa banjir negeri itu untuk kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. – Roketkini.com