Berita

Anak muda tolak politik, menyenangkan hati parti pemerintah

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Aksi tidak peduli oleh sebahagian anak muda daripada mengambil tahu hal ehwal politik negara juga merupakan satu ‘tindakan politik’ kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

‘Politik tidak peduli’ itu kata beliau akan menyebabkan pemerintah lebih mudah untuk mengeksploitasi sesuatu keadaan dan ‘berasa lega’ dengan kesilapan yang dilakukan.

“Sebenarnya, menolak politik adalah suatu tindakan politik kerana ‘politik’ tidak dapat dipisah daripada manusia.

“Apabila tidak berpolitik, keadaan negara pula yang akan mempolitikkan dia.  Soal pekerjaan, soal harga barang, soal keselamatan, ertinya, negara perlu orang yang memimpin,” katanya ketika ditemui Roketkini.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Mat, menghadiri Malam Kenangan mendiang Lau Dak Kee (1943 – Oktober 2017) pengasas DAP yang dikenali semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Ops Lalang.

Naib Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menegaskan,  satu-satunya cara untuk memperbaiki situasi ekonomi dan politik negara ini ialah melalui perubahan dalam pilihan raya akan datang.

“Saya berharap anak-anak muda kena ambil tau, ‘tidak berpolitik’ adalah juga satu tindakan berpolitik yang menyebabkan pemerintah yang melakukan kesilapan berasa lega – kerana, kesalahan yang dilakukan tidak ada orang yang nak perbetulkan,” katanya lagi.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekitar 3.8 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar.

Roketkini dalam laporan sebelum ini mendedahkan, kekurangan Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) daripada parti-parti politik merupakan salah satu punca kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi baru negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman dalam jawapan bertulis 25 Oktober lalu kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyebut terdapat hanya 205 pegawai PPP di seluruh negara pada tahun ini.

Jumlah tersebut jauh berbeza berbanding tahun 2011 apabila seramai 5,720 pegawai PPP bertugas mendaftarkan pengundi-pengundi baru seluruh negara. – Roketkini.com

Kredit foto: FB Mohamad Sabu