Berita

Saya maafkan MB Pahang – Tengku Zulpuri

KUANTAN, 28 NOV: Setelah mencetuskan kekecohan mahu  bertumbuk dengan Ketua Pembangkang DUN Pahang pada 22 November lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini tampil memohon maaf.

Permohonan maaf itu dilakukan ketika ucapan penggulungannya dalam sidang DUN hari ini kepada Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, Tanah Rata, Leong Ngah Ngah dan Speaker Dewan Negeri.

Dalam kekecohan minggu lalu, Adnan bertindak emosional mempertikaikan akidah dan mencabar Tengku Zul untuk ‘keluar dewan’ ekoran rasa tidak puas hatinya ketika Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu membangkitkan insiden banjir kilat yang melanda kawasannya.

Tengku Zul ketika dihubungi Roketkini berkata, beliau menerima permohonan maaf Adnan itu dengan hati yang terbuka.

“Selepas beliau mohon maaf, saya bangun dan memaafkannya. Saya beritahu secara berseloroh-saya tahu MB dah berumur, mungkin stress (ketika itu),” katanya.

Kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu, walau apa pun isu dan pandangan yang diperdebatkan dalam DUN, ia perlulah dilakukan secara profesional dan demi rakyat.

“DUN merupakan tempat yang mulia dan tak kira apa pun isu, kita berdebat dengan baik.

“Apa yang kita bahaskan adalah tentang masalah rakyat, bukan tentang parti tertentu. Paling penting, masalah rakyat dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pendiriannya berhubung tindakan Adnan sebelum ini yang mempersoalkan keimanannya berhubung kejadian bencana yang melanda.

“Sebagai orang Islam, saya percaya semua yang berlaku adalah kehendak Allah dan kita tidak boleh suka-suka pilih beri justifikasi terhadap sesuatu  bencana yang berlaku. Perkara ini terlalu subjektif.

“Kita juga tidak boleh persoalkan keimanan seseorang itu Islam atau bukan hanya kerana berbeza pandangan,” katanya lagi. – Roketkini