Rencana

Pengabdi Setan: Filem Nusantara paling angker

“Jika itu memang ibu, kita bisa bilang sama dia supaya tidak ganggu kita lagi.”

Lebih kurang tiga bulan aku menunggu cerita Pengabdi Setan ditayangkan di Malaysia setelah menonton ‘iklan acah’ di youtube. Dah lama aku tak menonton filem seram dari negara seberang walaupun filem genre seram bukan pilihan pertama. Sebenarnya aku kurang berminat menonton filem seram dari negara seberang kerana filem yang dihasilkan sekarang ini makin mengarut dengan sinematografi dan naratif yang tidak memenuhi citarasa serta pilihan pelakon yang tidak cocok.

Jika diimbau kembali filem seram tahun 1980-an – kebanyakan filem-filem seram dari Indonesia yang popular seperti Pengabdi Setan (Versi Asal), Malam Satu Suro, Bisikan Arwah, Perempuan Angker, Ratu Ilmu Hitam, Sundal Bolong sentiasa mendapat tempat dihati peminat filem seram.

Tetapi filem Pengabdi Setan ini berbeza dari kebanyakan filem seram yang ada di pasaran. Sekalung tahniah kepada sutradara Joko Anwar kerana telah memecahkan zaman kegelapan filem seram Indonesia yang makin kelam dan suram.

Saat aku melangkah masuk ke panggung wayang – Wow! Full house!.

Pengabdi Setan (1980) dan Pengabdi setan (2017)

Versi asal yang diarahkan oleh Sisworo Gautama Putra membawa tema yang jelas – kejahatan melawan kebaikan. Naratifnya berkisar kepada keretakan hubungan setiap ahli keluarga dan pemuja ilmu hitam yang memuja syaitan untuk memenuhi nafsu serakahnya. Pengakhiran cerita juga klise seperti mana filem-filem seram yang biasa kita tonton dimana sang ustaz datang berkumpulan bersama orang kampung berhadapan dengan semangat jahat dan berdoa kepada tuhan untuk membinasakan semangat jahat demi menyelamatkan keluarga tersebut.

Manakala Pengabdi Setan 2017 adalah pengadunan semula versi asal 1980-an di mana Joko Anwar telah memberi nafas baru dalam naratif filem ini mengikut acuannya. Masih berlatarkan era 1980-an dengan membawa tema yang berlainan; jalan ceritanya berfokuskan kepada watak Mawarni (Ayu Laksmi) sebagai ibu menjadi tunjang utama dalam mengerakkan filem ini. Mawarni adalah penyanyi popular lagu Kelam Malam sebelum menderita sakit misteri – lumpuh dan daif; tubuhnya kurus, wajahnya cengkung, raut wajahnya pucat lesu dan tidak mampu bersuara. Loceng sentiasa berada disisi untuk membantu dirinya jika dia memerlukan sesuatu.

Ceritanya bermula sewaktu masa mudanya Mawarni telah melakukan perjanjian dengan perkumpulan pemuja setan untuk mendapatkan anak kerana gagal menghamilkan anak tetapi syaratnya anak yang terakhir perlu diserahkan kepada mereka genap usianya 7 tahun. Setelah Mawarni meninggal dunia berlaku pelbagai kejadian yang menyeramkan menghantui keluarga mereka.

Babak menarik

Pujian wajar diberikan kepada setiap aktor yang memerankan watak mereka dengan baik. Ekspresi wajah yang menjadi ketika scene si bapa (Bront Palare) seperti kebingungan semasa tahlil dijalankan dirumahnya dan juga ketika Bondi dirasuk oleh arwah neneknya untuk membunuh Ian. Kredit perlu diberikan kepada watak Bondi (Nassarannuz) dan Ian (M.Adhiyat) yang di perankan dengan baik sekali. Sesekali mereka berdua menghiburkan ketika scene Ian mengejutkan Bondi untuk menemaninya ke pancur membuang air kecil.

Ketika mereka ingin balik ke kamar, mereka perlu melalui potret ibu yang tergantung kemas di dinding. Ian tidak bergerak dari tempatnya dan memberitahu Bondi; dia takut melihat potret ibunya. Namun Bondi mengatakan dia tidak perlu takut kerana itu hanya potret sahaja. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya ketika kain putih yang sepatutnya digunakan untuk menutup potret tersebut telah tidak sengaja menutup entiti yang berbentuk seperti sosok manusia dan entiti tersebut telah menyergah mereka.

Antara babak menyeramkan sehingga bulu roma tegak berdiri – ketika Rini (Tara Basro) menjengah di kamar ibunya; dia melihat ibunya berdiri tegak di hadapan jendela namun saat Rini menghampiri ibunya dia terdengar detingan loceng berkali-kali ketika dia menoleh, ibunya masih terbaring di katil terkial-kial seperti memberitahu sesuatu. Rini tersedar dan lembaga yang menyerupai ibunya menoleh tersenyum melihatnya – Rini terbangun dari tidurnya dan saat itu loceng ibunya berbunyi seperti dalam mimpinya – dejavu!

Babak ketika Rini mengambil wuduk sehingga dia selesai solat juga menyeramkan. Semasa Rini solat imej arwah ibunya yang menakutkan muncul di tepi tingkap yang terbuka memandang tajam ke arahnya – Ini betul-betul membuatkan bulu roma merinding! Ketika Rini memberi salam terakhir imej ibunya kembali menjelma merangkak perlahan-lahan masuk ke dalam telekungnya – memperlihatkan sejelas-jelasnya wajah yang jelek dengan senyuman yang menakutkan.

Antara babak yang aku kira agak lucu apabila kesungguhan anak ustaz – Hendra (Dimas Aditya) untuk membantu Rini seperti menangguk di air yang keruh kerana setiap kali wataknya bersama Rini terselit unsur-unsur flirting. Sememangnya watak Rini gadis sunti yang bisa meluluhkan hati mana-mana pria yang melihatnya waima anak ustaz sekalipun dia juga manusia yang mempunyai keinginan untuk jatuh cinta.

Babak anti klimaks

Pengabdi Setan kali ini memberikan plot twist yang akan membuatkan penonton berfikir dan tercari-cari siapa yang bertanggungjawab dalam kejadian angker didalam rumah tersebut.

Filem ini juga mendatangkan kelainan dimana sang ustaz tidak mampu melawan roh jahat yang melakukan onar dan telah membunuh anaknya Hendra. Sang ustaz olah-olah tidak ada keyakinan untuk melawan kejahatan. Kesedihan yang mendalam akibat kehilangan anaknya menyebabkan dia seperti kehilangan arah dan kebingungan sehinggakan beliau tidak membantu Rini ketika dia ditarik oleh makhluk jahat.

Ada beberapa babak yang membuat rosak cerita dan meninggalkan pertanyaan kepada penonton – ketika Rini melihat bapanya memegang tangan ibunya dan bercakap sesuatu namun Rini tidak mendengar keseluruhannya kecuali “kasihanilah mereka…” . Sehingga di penghujung cerita; butiran percakapan bapanya tidak terurai dan ditinggalkan tergantung.

Selain itu, babak selepas Hendra berjumpa Pak Budiman untuk mengambil surat karangan terakhir; pintu rumahnya diketuk bertalu – talu dan Pak Budiman dalam ketakutan, namun tidak ditunjukkan gerangan siapa yang mengetuk pintunya.

Babak akhir, Batara dan Darminah muncul menari-nari telah meninggalkan persoalan; Siapakah mereka didalam cerita Pengabdi Setan? Adakah kemungkinan Joko Anwar akan membikin sambungan Pengabdi Setan 2? Sama-sama kita nantikan.

Sinematografi yang menarik

Lokasi pengambaran di Bandung menggunakan rumah langka pada zaman penjajahan belanda yang tidak dihuni selama 20 tahun. Awal babak cerita ini menggunakan saiz medium long shot (MLS) memfokuskan Rini berjalan melewati pokok-pokok hijau besar yang tinggi di sepanjang jalan – memberikan pemandangan yang menarik sehinggalah kemera menghala ke rumah lama yang tersergam indah dikelilingi pokok-pokok renek di hadapan rumah.

Penataan cahaya back light dan fill light (cahaya bersudut) dan angel shot yang cemerlang ketika babak ian mengeluarkan separuh badannya meninjau keluar dari kamarnya kerana terdengar bunyi tepukan di dinding dan kamera telah memfokuskan kepada dua subjek – Ian dan potret ibunya wajar diberikan pujian.

Dari segi warna filem tersebut nampak malar dan kusam tidak terlalu cerah – sangat klasik dan diadun dengan atmosfera seram yang menyesakkan nafas berjaya memaku penonton seperti aku yang tidak ingin terlepas setiap babak filem tersebut.

Jika The Conjuring 2 mengetengahkan watak setan “valak” yang menakutkan tetapi hantu Mawarni lebih menyeramkan. Solekan dan prop hantu Mawarni cukup mengesankan dengan mengenakan solekan hitam putih, rambut panjang mengurai, baju tidur sehingga tidak menampakkan kaki dan veil yang menutup kepalanya melengkapkan sifat hantu nusantara – cukup dengan senyumannya membuatkan penonton sentiasa ketakutan di dalam panggung.

Bagi menambahkan lagi kesan psikologi ke atas penonton Joko Anwar telah mengadunkan lagu tema Kelam Malam nyanyian kugiran The Spouse – lirik dan rentak mendayu-dayu merintih – merenggut emosi penonton.

Keseluruhannya, Pengabdi Setan berbaloi untuk ditonton dan tidak rugi untuk mengeluarkan sedikit wang saku membeli tiket wayang dan sekotak pop corn. Pastikan anda menonton bersama teman yang mempunyai hati kental supaya tidak terjadi mood spoiler. – Roketkini.com