Berita

Pentadbiran UM mula gertak pelajar, kakitangan, larang buat kenyataan awam

Tindakan menyekat kebebasan bersuara di kalangan mahasiawa mencerminkan pemerintah UMNO-Barisan Nasional (BN) semakin resah terhadap kebangkitan golongan terpelajar negara ini.

Kekangan itu juga dilihat sebagai satu penghinaan yang merendah-rendahkan tahap intelektual dan kematangan mahasiswa negara ini.

Tindak tanduk itu dapat dilihat apabila semua mahasiswa Universiti Malaysia (UM) semalam menerima emel daripada Unit Integriti, Pejabat Naib Canselor Universiti Malaya yang melarang pelajarnya membuat sebarang pernyataan awam malah turut terpakai kepada kakitangan kampus berkenaan.

Larangan tersebut dikemukan melalui Peraturan 18 yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Tatatertib Badan Berkanun (Akta 605) sebagai justifikasinya untuk melarang warga kampus daripada membuat sebarang pernyataan awam.

Sosialis Muda DAP (DAPSY) dalam kenyataannya hari ini berkata tindakan itu jelas berniat jahat mengekang pimpinan mahasiswa dan kumpulan kakitangan yang semakin lantang beruara terhadap pihak universiti yang sibuk ‘menjaga kepentingan rejim UMNO BN’.

“Biarpun akta tersebut adalah terpakai kepada golongan mahasiswa, peraturan sedemikian yang mencabuli kebebasan bersuara adalah tidak selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara Malaysia (termasuklah warga kampus) untuk bersuara dan bercakap secara bebas.

“Adakah Pejabat Naib Canselor begitu jahil dan tidak celik terhadap undang-undang tertinggi negara kita yang menjamin hak dan kebebasan untuk bersuara?” soal DAPSY.

Justeru, DAPSY mendesak agar pentadbiran universiti menghentikan segala tindakan menyebarkan ketakutan di kalangan pimpinan mahasiswa dan kakitangan kampus.

“Larangan ataupun peringatan sedemikian yang langsung tidak selaras dengan semangat perlembagaan dan DAPSY Kebangsaan bersedia untuk bersolidariti dan mempertahankan sesiapa warga varsiti yang dizalimi di bawah peraturan rimba sebegini,” kata kenyataan itu lagi. – Roketkini