Berita

Guan Eng kecam AS iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

GEORGE TOWN, 7 DIS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengecam sekeras-kerasnya pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Tegasnya, kenyataan yang dibuat Trump itu jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Tindakan Donald Trump itu harus dikecam oleh semua pihak yang mahukan keamanan.

“(Dan) saya berharap Perdana Menteri boleh sampaikan keresahan dan kemarahan rakyat Malaysia berhubung tindakan Donald Trump itu,” katanya seperti dilaporkan Buletin Mutiara, hari ini.

Trump dilaporkan media awal pagi ini mengiktiraf Baitulmaqdis, tanah suci bagi umat Islam, Krisitian dan Yahudi, sebagai ibu negara Isreal, keputusan yang mengundang kecaman banyak negara Islam.

Beliau turut mengarahkan kedutaan AS di Israel berpindah ke Baitulmaqdis.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berharap supaya AS dapat menarik balik pengisytiharan itu.

“Kenyataan Donald Trump bukan sahaja akan menimbulkan ketegangan, malah juga mungkin boleh menyebabkan satu lagi peperangan dan ini pastinya tidak membantu (usaha) membanteras ancaman pengganas.

“Oleh itu, sebagai Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP mengecam sekeras-kerasnya pengumuman yang dibuat oleh pemimpin itu,” ujarnya. – Roketkini.