Rencana

‘Asalkan bukan Dr Mahathir’

Ada sekumpulan orang yang tidak suka dengan Barisan Nasional (BN) tetapi pada masa yang sama mereka benci Dr Mahathir Mohamad. Sehubungan itu, mereka enggan menyokong Pakatan Harapan (PH) walaupun sebelum ini kebanyakan mereka merupakan pengundi pembangkang.

Ada antara mereka kini yang berkempen supaya rakyat memboikot atau merosakkan undi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Walaupun bilangannya kecil, suara mereka lantang di media sosial.

Bagi mereka, walaupun Dr Mahathir kini bersama PH, sukar untuk mereka melupakan dosa-dosa politik beliau sewaktu menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981.

Bagi mereka, tiada maaf bagi Dr Mahathir yang dianggap diktator sewaktu era Malaysia bangkit sebagai kuasa ekonomi Asia Tenggara sepanjang 1990-an tetapi dipenuhi dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Bagi mereka, dalam PRU akan datang ini, segala-galanya adalah “asalkan bukan Dr Mahathir”.

Golongan ini yang kebanyakannya menganggap diri mereka pejuang demokrasi seolah-olah tidak peduli lagi sama ada Perdana Menteri Najib Razak kekal berkuasa bersama BN jika PH gagal menumbangkan rejim tersebut.

Sedar atau tidak, mereka seolah-olah rela dengan politik perkauman dan keagamaan yang menjadi amalan hegemoni Umno-BN masa kini akan berterusan.

Yang penting bagi mereka, tolak Dr Mahathir. Biarlah sesiapa pun memegang kuasa, asalkan bukan Dr Mahathir.

Suasana panas PRU 2013 sudah berlalu. Pada masa itu, slogan Ubah! serta Ini Kalilah! berkumandang di mana-mana. Ketika itu, segala-galanya adalah “asalkan bukan Umno-BN”.
Namun, walaupun pembangkang menang undi popular 52% pada PRU 2013, persempadanan semula kawasan Parlimen yang ditentukan oleh kerajaan BN memastikan ia terus memegang kuasa walaupun ditolak oleh majoriti pengundi.

Kini pentadbiran Najib sedang berhempas-pulas mahu meluluskan pindaan persempadanan semula yang baru untuk memberi kelebihan yang tidak adil kepada BN dalam PRU 2018.

Selain bergelumang skandal mega 1MDB, mengenakan cukai GST 6% dan menjadi punca kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan majoriti rakyat menderita, BN juga semakin terpisah daripada golongan marhaen akibat kepincangan dasar-dasarnya yang tidak telus, tidak mampan serta lembab.

Segala tuntutan rakyat, termasuk yang disuarakan oleh PH, hanya dijawab oleh BN, khususnya para pemimpin Umno, dengan fitnah dan pembohongan.

Untuk memulihkan negara, perlu ada perubahan kerajaan untuk mewujudkan pentadbiran yang bersih, telus serta adil dan bertanggungjawab untuk semua kaum, agama, gender dan wilayah. Hanya melalui kerajaan baru, reformasi dapat dilaksanakan; kerana Umno-BN tidak berminat pun untuk berubah demi rakyat.

Tiada siapa yang mengatakan bahawa kerajaan baharu akan membawa keajaiban. Tiada siapa mengharapkan kerajaan baru boleh menghapuskan rasuah, membasmi kemiskinan dan mencipta kemakmuran dalam masa setahun dua memerintah.

Semua akur bahawa reformasi pentadbiran memerlukan masa yang panjang setelah negara sekian lama ditempangkan oleh Umno-BN.

Memang Dr Mahathir sendiri terlibat dalam proses yang mencacatkan demokrasi dan melumpuhkan kebebasan serta menyekat peluang saksama untuk semua rakyat. Tetapi perlu diingatkan bahawa Anwar Ibrahim juga merupakan orang kepercayaan Dr Mahathir sepanjang 1980-an hingga penghujung 1990-an.

Malah, Najib turut berada di dalam kem Dr Mahathir sepanjang era pentadbiran tokoh veteran itu.

Mereka semua terlibat dan terpalit dengan dasar Dr Mahathir. Jika Dr Mahathir perlu dipersalahkan, maka semua pemimpin kanan BN hari ini serta yang kini bersama pembangkang turut bersalah kerana pernah bersekongkol dengan Dr Mahathir.

Sebenarnya era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn juga tidak bebas daripada kelemahan dan kepincangan. Namun, zaman itu mungkin terlalu jauh untuk kebanyakan kita mengingatinya, apatah lagi meletakkannya sebagai perbandingan hari ini.

Sekurang-kurangnya dengan membandingkan era hampir 40 tahun lalu, kita berdepan dengan satu persoalan yang lebih besar: bukankah kita sebagai rakyat turut bersalah kerana membiarkan rejim tersebut berkuasa?

Jika kita pernah membangkang, sejauh mana kekuatan bangkangan kita? Pada masa itu adakah kita menganggap parti pembangkang yang ada tidak mencapai standard untuk melawan BN?

Malah, pada era Dr Mahathir, mengapa kita tidak memilih pembangkang untuk menjadi kerajaan sepanjang PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1998? Mengapa kita terus memberikan kemenangan besar untuk BN sewaktu era Abdullah Badawi pada PRU 2004?

Hanya pada PRU 2008 dan 2013 baru kita sedar tentang kebobrokan BN. Namun pada masa itu masih ramai yang takut dengan perubahan. Masih ramai yang percaya BN akan kekal berkuasa buat selama-lamanya. Masih ramai yang menganggap orang Melayu, sebagai pengundi majoriti, tidak berani untuk menolak BN.

Selepas keadaan hampir menang pada PRU 2013 itu, kini masanya tiba untuk PRU 2018. Sepatutnya inilah detik penentuan bagi membuka lembaran baru untuk Malaysia.

Sayangnya, saat genting ini pula menjadi pilihan sekumpulan orang yang mahu menjadi wira – yang mengajak kita, sama ada memboikot PRU, merosakkan undi atau memburukkan PH.

Semuanya semata-mata mereka membenci Dr Mahathir, si tua yang amat mereka takuti kembali berkuasa dan bakal menggerakkan semula rejimnya yang dulu. Mereka seolah-olah yakin Dr Mahathir akan berkuasa untuk berpuluh-puluh tahun lagi.

Sama ada mereka sedar atau tidak, memboikot PRU atau merosakkan undi hanya akan menjamin kemenangan besar Najib dan Umno-BN. Itulah kejayaan yang bakal dicatat melalui kempen “asalkan bukan Dr Mahathir”.

Memang Dr Mahathir, sama seperti Anwar, penuh dengan sejarah buruk baik pentadbiran zamannya. Malah, PH juga tidak sempurna. Dan kita tahu Umno-BN dicemari dengan segala keburukan dan kejijikan walaupun ada cebis-cebisan kebaikannya.

Seperti kata peringatan, jika kita tidak mengundi, ia bererti kita membenarkan orang lain menentukan hidup kita, dan sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang, kita terpaksalah menerima keadaan hidup yang ditentukan oleh orang lain. – Roketkini.com

*Terlebih dahulu disiarkan di The Malaysian Insight https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/28782/