Berita

ROS diminta luluskan semua cawangan protem DAP

DAP mahu supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) turut meluluskan semua cawangan protem yang sebelum ini tergantung ekoran isu pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu adalah wajar  memandangkan ROS telah mengiktiraf pemilihan semula CEC yang dijalankan pada November 2017.

“Bagi pihak DAP, kita ada banyak isu yang belum selesai dengan ROS sepanjang tempoh lima ini bermula tahun 2013 di mana ROS telah membekukan semua penubuhan cawangan-cawangan baru.

“Kita ada lebih kurang 200 cawangan protem yang telah dikemukakan kepada ROS (tetapi) oleh kerana isu ini (pemilihan semula CEC), ROS telah membekukan semua permohonan cawangan kita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP sebentar tadi.

Selain itu,  DAP juga kata Anthony masih menunggu jawapan agensi terbabit terhadap pindaan perlembagaan parti yang dikemukakan sebelum ini.

Beliau turut menyeru supaya ROS bersikap mesra pelanggan dengan parti-parti politik dan pertubuhan yang berdaftar yang lain.

“Saya menyeru kepada Ketua Pengarah ROS supaya lebih mesra pelanggan. Kami ialah pelanggan anda.

“Selama ini memang susah nak jumpa mereka, selalunya mereka tak bersedia nak jumpa kita untuk jawab persoalan.

“Saya harap, Ketua Pendaftar yang baru ini akan mengambil sikap terbuka bukan sahaja dengan DAP tetapi juga dengan parti-parti PH yang lain.

“Kita harap ini dapat dilaksanakan dan akan tulis surat kepada ROS untuk mengadakan perjumpaan dan menyelesaikan sebarang isu yang belum selesai,” katanya lagi. – Roketkini.com