Berita

DAP lancar laman web e-dagang, Ubah Store

DAP hari ini melancarkan laman web e-dagangnya, Ubah Store bertujuan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan barangan eksklusif keluaran parti serta melakukan sumbangan untuk kempen yang bakal dijalankan.

Antara barangan yang dijual adalah patung ‘burung Ubah’ pelbagai saiz dan baju T yang boleh didapati dengan harga serendah RM20.

Pengunjung laman web tersebut juga berpeluang untuk mendapatkan buku keluaran DAP serta melanggan akhbar The Rocket versi bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

“Bagi promosi pelancaran ini, kami akan memberikan patung ubah berharga RM20 secara percuma kepada mereka yang melanggan akhbar The Rocket versi bahasa Inggeris atau Cina selama 24 bulan,” ujar Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching.

Akhbar The Rocket versi bahasa Melayu dan Tamil boleh didapati secara percuma di laman web tersebut sementara versi bahasa Inggeris dan Cina dijual pada harga RM48 untuk langganan 12 bulan.

Turut hadir pada pelancaran di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur itu adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Bendahari DAP, Fong Kui Lun dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin.

Selain itu juga, laman web tersebut turut membuka ruang kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan secara terus kepada kempen yang bakal dilaksanakan parti.

Antara kempen yang menarik adalah Help Rural Voters Understand 1MDB – Mother of All BN Scandals (Bantu Pengundi Luar Bandar Memahami 1MDB – Ibu Segala Skandal BN) yang menyasarkan sumbangan sebanyak RM90,000.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan serendah RM1.00 secara atas talian serta berpeluang mendapatkan barangan eksklusif keluaran parti jika menyumbang lebih.

Menurut Bee Yin, laman web Ubah Store ketika ini menawarkan enam pilihan kempen dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa sehingga menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“(Dengan laman web ini) penyumbang kami dapat menyumbang secara terus kepada kempen yang mereka rasakan sangat dekat dengan diri mereka,” ujarnya. – Roketkini.com