Berita

Pemimpin UMNO dan MCA buat lawak kecam Robert Kuok

Meskipun pernah menjadi penyumbang politik terbesar kepada UMNO dan MCA, gelagat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) itu beberapa hari lalu mencerca hartawan Tan Sri Robert Kuok boleh disifatkan sebagai ‘jenaka tahap tinggi’.

“Beliau (Robert Kuok) dimarah, diberi amaran dan dicerca oleh anggota Kabinet Malaysia. Namun dalam perkembangan menarik semalam, Kuok menerima tabik hormat daripada Perdana Menteri.

“Daripada menggelarnya pengecut ‘tak ada telur’ sehinggalah ‘kisah kejayaan rakyat Malaysia’, semuanya dalam masa tiga hari sahaja. Kalau ini bukan jenaka politik tahap paling tinggi, entahlah nak panggil apa,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Segalanya bermula apabila seorang blogger upahan mendedahkan kononnya Kuok mempunyai agenda untuk menggantikan kerajaan sedia ada dengan pembangkang.

Kuok juga dituduh memberi derma kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Bermula dari pendedahan palsu itu, Kuok telah menerima pelbagai kecaman dari pemimpin BN termasuk ada yang mencabarnya untuk masuk bertanding dalam pilihan raya dan menggelarnya sebagai ‘pondan’.

“Jika pemimpin UMNO boleh memaki hamun dan memfitnah Kuok tanpa sebarang asas, apalah nasib ahli perniagaan biasa untuk selamat daripada para pembuli UMNO?” soal Lip Eng.

Kuok katanya bukanlah asing bagi parti pemerintah kerana beliau merupakan penyumbang politik terbesar kepada UMNO dan MCA serta menjadi penyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.

Beliau turut mempersoalkan tindakan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang tidak membincangkan perkara itu dengan segera bersama Perdana Menteri Najib Razak.

“Kenapa Presiden MCA, sebuah parti yang mengaku juara isu masyarakat Cina, tidak menelefon Najib sendiri, atau duduk bersembang dengan Perdana Menteri itu bagi membela Kuok? Atau adakah Liow sebenarnya si pengecut yang tidak berani berdepan Presiden UMNO?” soalnya.

Sekiranya MCA yang mengaku mewakili masyarakat Cina tidak boleh mempertahankan Kuok daripada serangan tidak berasas UMNO, apa pula kemampuan MCA untuk membela masyarakat Cina kebanyakan seperti yang sering didakwanya.

“Paling kurang, apa yang boleh dibuat oleh pimpinan MCA untuk Kuok dan masyarakat Cina ialah supaya tiga menterinya berdepan Najib dan menteri-menteri UMNO dalam mesyuarat Kabinet dan meminta mereka menarik balik tuduhan-tuduhan palsu terhadap Kuok.

“Mungkinkah tiga menteri MCA ini akan berani mempertahankan kebenaran atau terus sahaja menjadi bacul?” solanya lagi. – Roketkini.com